UMNO sedia buka ruang kepada ahli digantung - Zahid

Astro Awani
Disember 1, 2024 17:23 MYT
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedia membuka kembali ruang terhadap bekas pimpinan UMNO yang sebelum ini berdepan dengan tindakan pemecatan. - BERNAMA
SHAH ALAM: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedia membuka kembali ruang terhadap bekas pimpinan UMNO yang sebelum ini berdepan dengan tindakan pemecatan.
Antaranya adalah Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, susulan isu penggantungan.
Beliau mengulas susulan keputusan parti menarik semula penggantungan bekas Ahli Parlimen Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Ahmad Zahid berkata, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu telah menghantar sebanyak empat kali surat rayuan kepada parti.
"Datuk Seri Tajuddin menghantar surat rayuan empat kali dan beliau telah datang memperlihatkan sokongannya sewaktu Pilihan Raya di Nenggiri dan Mahkota. Beliau juga hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu. Dan saya tidak nampak kenapa Majlis Tertinggi tidak bersetuju dengan rayuan beliau.
"Jika ada lain-lain yang melakukan tindakan yang sama sebagaimana yang dibuktikan beliau (Tajuddin) saya tidak nampak jika ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi juga tidak boleh lakukan keputusan sama," katanya.
Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun baru-baru ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara memutuskan untuk melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian Tajuddin berkuat kuasa serta-merta.
#Hishammuddin Hussein #Ahmad Zahid Hamidi #UMNO #PRU15
;