UMNO sedia bekerjasama dengan musuh politik hadapi PRU14 - TPM Zahid

Sharom Abu Bakar
Mac 17, 2017 22:39 MYT
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kanan) merasmikan majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri hari ini. - Foto Bernama
UMNO membayangkan bakal bekerjasama dengan parti yang mempunyai asas perjuangan yang hampir sama dalam menghadapi pilihan raya umum ke 14 (PRU14) termasuk bekas musuh politiknya.
Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkembangan berkenaan membuktikan bahawa tiada rakan atau musuh yang kekal dalam arena politik.
Tanpa menamakan parti berkenaan, beliau berkata parti itu mempunyai pengaruh dan kewibawaan tersendiri berbanding kelompok ‘ketam batu’ yang meninggalkan parti untuk memperjuangkan agenda peribadi masing masing.
“Kawan baru ini mungkin dulu adalah musuh politik kita, tetapi mereka telah 'ta'awun', mereka telah 'tabbayun', mereka telah memahami, mereka telah melakukan ‘crystallisation’ terhadap permasalah yang kita tangani bersama dengan tidak ada anggapan lain,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Berkelompok Persidangan UMNO cawangan peringkat negeri Terengganu dan penyampaian hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) peringkat negeri di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, pendekatan UMNO dan Barisan Nasional berbeza dengan pembangkang yang bekerjasama dalam keadaan terdesak untuk menumbangkan kerajaan.
Sebaliknya UMNO meletakkan kepentingan agama dan bangsa tanpa mengenepikan kepentingan kaum lain dalam menentukan hala tujunya.
“Kita bukan berhasrat untuk mengadakan 'tahaluf siyasi' secara semberono, ‘political callibration’ secara mendadak tetapi InsyaAllah pendekatan kita penuh dengan kebijaksanaan dan persefahaman di kalangan kita,” katanya lagi.
#Barisan Nasional #Najib Razak #PAS #PRU #TPM #UMNO #Zahid Hamidi
;