UMNO Sabah tidak letak calon di PRK Bugaya - Bung Moktar

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 5, 2020 16:21 MYT
Menurut Bung Moktar keputusan tidak meletakkan calon di PRK Bugaya diambil oleh UMNO Sabah berdasarkan kuasa autonomi yang ada. - Gambar fail
KOTA KINABALU: UMNO Sabah tidak akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang akan diadakan pada 16 Januari depan.
Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan itu dibuat hari ini berdasarkan beberapa faktor.
"Kita telah memutuskan untuk tidak meletak calon dan keputusan ini dibuat tadi oleh UMNO Sabah berdasarkan beberapa faktor iaitu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, UMNO tidak bertanding di kawasan itu.
"Keputusan ini juga diambil oleh UMNO Sabah berdasarkan kuasa autonomi yang ada," katanya dalam sidang media yang diadakan di sini pada Sabtu.
BACA: Pengundian PRK Gerik, Bugaya serentak pada 16 Jan - SPR
Tambahnya UMNO Sabah hari ini turut menerima beberapa keahlian pemimpin yang berhasrat menyertai UMNO semula.
Antaranya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak; ADUN Sugut, Datuk James Ratib; bekas ADUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail; bekas ADUN Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail dan bekas ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar.
Sementara itu menurut Bung, kemelut politik di negeri Perak tidak akan menjejaskan senario semasa politik dan pentadbiran di Sabah.
Kemelut itu juga katanya tidak mengubah hubungan setiakawan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan mengingatkan rakan gabungan agar memahami satu sama lain.
"Apa yang berlaku di Perak itu hanya sentimen di Perak, kita di Sabah punya sentimen kita utamakan kepentingan rakyat.
"Apa yang penting, apa yang kita harapkan pemimpin di Sabah ini memahami antara satu sama lain, bermakna kita mesti bersama-sama tidak boleh berpecah-pecah, kalau kita berpecah itulah akibatnya, rugi," katanya lagi.
#PRK Bugaya #UMNO Sabah #Bung Moktar Radin #ADUN #pilihan raya negeri #pilihan raya kecil #PRK #Salleh Said Keruak #politik #pilihan raya
;