Umno Sabah perlu sedikit waktu untuk matang, kembali teguh - Najib
Ruzaini Zulkepli
Ogos 4, 2019 16:32 MYT
Ogos 4, 2019 16:32 MYT
Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno di Sabah memerlukan sedikit waktu untuk menjadi matang dalam kancah politik.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan proses mematangkan kepimpinan parti itu kini sedang giat berjalan di negeri itu.
Beliau berkata, proses tersebut adalah perlu dalam usaha BN dan UMNO untuk muncul kuat semula serta menawan kembali negeri itu selepas kehilangan beberapa pemimpin yang bertindak keluar ke parti.
"Kita perlu kepada penggantian pemimpin-pemimpin, sebab banyak pemimpin kita walaupun mereka bersemangat, tapi belum cukup pengalaman lagi.
"Jadi dalam masa yang terdekat ini kita kena mematangkan mereka dalam kancah politik supaya mereka jadi viable alternatives (pilihan sesuai) nanti," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Papar di Kinarut, Papar, pada Ahad.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada Umno dan BN akan mewujudkan satu pakatan baharu di Sabah, Najib memberikan bayangan pihaknya sentiasa berkerjasama.
"Politik masih dinamik dan amatlah 'cair', jadi saya akan berkata pelbagai senario yang kita hadapi, agak terlalu awal mengatakannya, tetapi Umno dan BN terbuka untuk berkerjasama dengan parti yang percaya dasar-dasar BN dan UMNO," katanya.
Terdahulu, sebelum majlis tersebut, Najib yang juga bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan itu berkesempatan mengadakan kunjungan ke sebuah restoran di daerah Putatan untuk bertemu orang ramai.
#Barisan Nasional
#Najib Razak
#Parlimen
#Pengerusi Lembaga Penasihat BN
#Perdana Menteri
#politik
#Sabah
#UMNO