UMNO Sabah perlu bekerjasama parti lain PRN akan datang - Bung Moktar

Sinar Harian
Mac 17, 2024 12:00 MYT
Bung Moktar ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Zon 2 UMNO Sabah di Masjid Al-Hilal, Kampung Contoh, Putatan.
PUTATAN: UMNO Sabah mengakui tidak akan memperoleh kemenangan secara mutlak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang untuk membentuk kerajaan negeri.
Sebaliknya, Ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO memerlukan rakan untuk berjuang dalam PRN akan datang.
"Saya selalu menyatakan, dalam ucapan pun jelas bahawa kita mesti (bekerjasama) sebab tidak ada jalan lagi satu-satu parti bertanding dan mendapat kemenangan secara mutlak, tidak ada.
"Sudah tentu kita akan mencari rakan kita dalam pilihan raya akan datang tetapi itu belum kita putuskan, kita nilai dulu, kita tapis dulu, kita analisis sebab dalam politik ini apabila kita salah membuat keputusan maka sudah untuk diundur balik ia memakan masa lima atau 10 tahun.
"Jadi kita tidak boleh lagi melakukan kesilapan yang lalu, Insya-Allah kita akan ada rakan dalam memperjuangkan pilihan raya akan datang," katanya ketika ditanya mengenai keputusan untuk kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan).
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Zon 2 UMNO Sabah di Masjid Al-Hilal, Kampung Contoh, di sini pada malam Sabtu.
Diminta mengulas lanjut mengenai keputusan yang konkrit mengenai kerjasama itu, beliau mengakui ada melakukan pertemuan dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
"Pertemuan rasmi, tidak rasmi ada. Kita selalu (bertemu) di Parlimen, selalu berjumpa dalam mana-mana program dan kita duduk berbincang tetapi perbincangan dengan keputusan itu berbezalah. Keputusan konkrit belum ada," jelasnya. - Sinar Harian
#UMNO Sabah #Bung Moktar Radin #PRN Sabah #kerjasama parti
;