UMNO Sabah kekal kuasa autonomi
Fifi Harteeny Marzuki
September 25, 2018 17:30 MYT
September 25, 2018 17:30 MYT
UMNO Sabah akan kekal dan diberi kuasa autonomi untuk mentadbir hal-hal yang berkaitan dasar parti itu di negeri ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.
Menurutnya, permohonan Sabah itu akan beliau sentuh dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO pada 29 September ini sebelum dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi UMNO untuk diperakui.
Tambah Ahmad Zahid perkara berkenaan juga akan dibawa ke Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi membolehkan pindaan perlembagaan parti berhubung permintaan UMNO Sabah untuk diberi autonomi berkenaan.
Kita akan mengumumkan sesuatu yang penting untuk UMNO Sabah agar permohonan mereka diberikan kelulusan. Kita juga akan mengadakan mesyuarat untuk kita meletakkan permintaan itu di dalam perlembagaan yang baharu," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin UMNO Sabah di Bangunan UMNO di sini pada Selasa.
Katanya permohonan UMNO Sabah untuk sertai satu gabungan parti pembangkang di negeri itu juga akan beliau sentuh dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO nanti.