UMNO Sabah kekal dengan GRS, pentadbiran negeri berjalan seperti biasa - Bung Moktar

Eleanor Michelle Patrick
Julai 8, 2021 11:55 MYT
Bung berkata, Kerajaan Sabah ditadbir GRS masih berfungsi seperti biasa dan menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat negeri itu.
KOTA KINABALU: UMNO Sabah kekal dengan pendirian bersama rakan komponen dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mempertahankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sehubungan itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Kerajaan Sabah ditadbir GRS masih berfungsi seperti biasa dan menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat negeri itu.
Malah, jelasnya, pendirian itu turut dinyatakan pihaknya dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
"Kita tetap mempertahankan GRS dan terus menghormati mandat rakyat. Kita baru sahaja mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Kerajaan GRS masih berfungsi bagi menjalankan tugas kesejahteraan demi rakyat Sabah," katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI.
Bung Moktar berkata demikian bagi mengulas isu kemelut UMNO Pusat yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin semalam.
BACA: UMNO desak Muhyiddin berundur, namun tidak sokong Anwar jadi PM baharu
BACA: UMNO tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta - Zahid Hamidi
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung senario politik semasa yang berlaku di Semenanjung sebaliknya menetapkan Sabah tetap mempertahankan intitusi pentadbiran sedia ada.
Terdahulu, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam Rabu memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.
BACA: [LAPOR LANGSUNG]: Politik Malaysia pasca Mesyuarat MKT UMNO
BACA: Negara makin meleset, UMNO wajar tampil dengan satu pendirian - Tok Mat
Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletak jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.
MKT UMNO turut menegaskan sebarang usaha untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan ditolak sepenuhnya oleh parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, berkata penolakan itu termasuklah kerjasama parti itu dengan DAP.
Keputusan MKT UMNO | UMNO desak Tan Sri Muhyiddin Yassin undur sebagai Perdana Menteri
#UMNO Sabah #Gabungan Rakyat Sabah #GRS #Bung Moktar Radin #Pengerusi UMNO Sabah #Hajiji Noor #mandat rakyat
;