UMNO Sabah diterajui rakyat Sabah sendiri, bukan rampas kuasa - Bung Mokhtar

Bernama
April 1, 2024 23:52 MYT
Bung Moktar berkata UMNO Sabah mempunyai autonomi yang tersendiri membuatkan badan perhubungan negeri itu berbeza dengan UMNO di negeri lain. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kehadiran UMNO ke negeri itu sejak 33 tahun lepas bukanlah hendak merampas kuasa, kerana UMNO Sabah diterajui rakyat Sabah sendiri.
Beliau yang tidak senang dengan tindakan sesetengah pihak di Sabah yang dilihatnya cuba meniup semangat kenegerian dengan melabelkan UMNO sebagai parti politik dari Malaya berkata, isu itu sepatutnya tidak timbul kerana kehadiran UMNO ke Sabah sejak lebih tiga dekad lalu adalah atas kehendak rakyat Sabah sendiri.
Katanya beliau mengenali sebilangan mereka yang cuba mempengaruhi rakyat Sabah supaya menolak UMNO itu, adalah yang pernah terlibat sebagai pengasas di awal kemasukan UMNO ke Sabah.
Bung Moktar berkata UMNO Sabah mempunyai autonomi yang tersendiri membuatkan badan perhubungan negeri itu berbeza dengan UMNO di negeri lain.
Menerusi autonomi itu, UMNO Sabah mempunyai kuasa dalam menyusun ahli jawatankuasa badan perhubungan parti di negeri ini seterusnya membincangkan perkara-perkara yang berkepentingan melibatkan parti itu di Sabah.
Beliau seterusnya meminta semua pihak supaya mengelak perbuatan yang boleh memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai etnik dan agama.
-- BERNAMA
#UMNO #merampas kuasa #parti politik #diterajui rakyat
;