UMNO Sabah akan tuntut dana parti

Ruzaini Zulkepli
Jun 22, 2019 18:41 MYT
Abdul Rahman dan Musa menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri di Tuaran hari ini. - Astro AWANI
UMNO Sabah akan menuntut dana parti yang dibekukan sebelum ini dan bersedia menghadapinya di mahkamah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, langkah itu susulan pengumuman saman permohonan melucut hak yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Selain UMNO Sabah, 40 individu dan entiti tempatan termasuk Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) turut dikaitkan dengan jumlah dana bernilai RM270 juta yang didakwa diterima daripada syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Seperti yang disebutkan pemangku Presiden, UMNO akan lawan, akan membela diri di mahkamah. Bagi pihak UMNO Sabah, saya pasti juga Datuk Bung (Datuk Seri Bung Moktar Radin) juga sudah dimaklumkan bahawa peguam-peguam UMNO Sabah akan membuat representasi di mahkamah.
"Ini untuk menunjukkan bahawa wang itu adalah bukan dari 1MDB ataupun sumber yang tidak diketahui, tetapi wang itu adalah wang yang telah disalurkan oleh pihak Ibu Pejabat UMNO kepada UMNO Negeri Sabah untuk kegunaan gerakan jentera parti," katanya.
Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini, pada Sabtu.
Hadir sama bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan pemimpin setempat.
Terdahulu, dalam sidang media khas SPRM di Putrajaya semalam, Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya mendedahkan sebanyak 41 penama telah dikenal pasti dan telah difailkan permohonan untuk lucut hak di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Latheefa juga menyatakan transaksi paling tinggi melibatkan parti UMNO iaitu sebanyak RM212 juta dan ia turut melibatkan satu akaun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Abdul Rahman dalam sidang media sama berkata, pihaknya berpendapat dana parti itu seharusnya dikembalikan selepas setahun disita dan dibekukan.
"Sebenarnya tabung atau akaun UMNO Sabah sudah dibekukan, tiada yang mengejutkan dari segi itu.
"Kita beranggapan setelah setahun mereka membeku akaun UMNO, duit itu patut dicairkan atau dikembalikan mana-mana yang telah diambil, tetapi mereka menggunakan undang-undang AMLA untuk meneruskan penyitaan wang tersebut," tambahnya.
#1MDB #Abdul Rahman Dahlan #SPRM #UMNO Sabah
;