UMNO runding dengan kerajaan bila PRU15 - Mohamad Hasan

Sinar Harian
Disember 12, 2021 07:06 MYT
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau hari ini. - Foto Sinar Harian
REMBAU: Pimpinan tertinggi UMNO akan mengadakan rundingan dengan kerajaan untuk mencari kesepakatan waktu paling sesuai diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menerusi hasil rundingan berkenaan Perdana Menteri akan menasihati Yang di-Pertuan Agong dan keputusan itu tertakluk kepada Seri Paduka Baginda.
"Pilihan raya ini terpulang kepada pucuk pimpinan parti dan pucuk pimpinan negara berunding mencari kata pakatnya.
"Bila parti sudah bersedia dan kerajaan pun sudah bersedia, kalau nak diadakan pilihan raya awal pun yang boleh membubarkan Parlimen ini atas nasihat Perdana Menteri adalah Yang di-Pertuan Agong. Kalau Seri Paduka Baginda tidak mahu, macam mana nak diadakan pilihan raya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2021 di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Mohamad berkata, faktor itu perlu dilihat kerana Yang di-Pertuan Agong tidak bersetuju untuk membubarkan Parlimen sebelum ini supaya krisis pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi dapat ditangani dahulu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, UMNO juga perlu memastikan yang betul-betul bersedia untuk diadakan pilihan raya.
"Parti juga perlu bersedia. Tak guna kita pergi perang tapi kita serah nyawa macam itu sahaja kerana pilihan raya ini umpama pergi perang.
"Kita perlu belajar kesilapan lalu. Kajian sikap mesti dibuat semula walaupun ia sudah dibuat setahun dulu kerana politik ini bersifat dinamik.
"Orang yang dulu dikategorikan sebagai putih menyokong kita barangkali tidak lagi menyokong kita. Jadi kita kena 'bilas' semula supaya kajian sikap dibuat benar-benar menggambarkan kajian sikap semasa," katanya.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: UMNO runding dengan kerajaan bila PRU15
#PRU15 #Mohamad Hasan #UMNO #Yang di-Pertuan Agong