UMNO Pulau Pinang tolak kerjasama politik dengan Bersatu pada PRU15

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 3, 2021 08:16 MYT
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, keputusan itu diputuskan majoriti semua bahagian di negeri itu dalam mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing hari ini. - Astro AWANI
BUKIT MERTAJAM: UMNO Pulau Pinang menolak sebarang kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, keputusan itu diputuskan majoriti semua bahagian di negeri itu dalam mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing hari ini.
Sebaliknya Musa berkata, UMNO negeri akan kekal bekerjasama dengan Pas di bawah Muafakat Nasional (MN) serta parti-parti lain di negeri itu dalam usaha merampas semula pentadbiran kerajaan negeri daripada DAP.
"Saya nak buat keputusan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Bahagian Pulau Pinang, majoriti bahagian UMNO tolak kerjasama dengan Bersatu. Saya tahu angka majoriti (ahli UMNO Pulau Pinang) tolak kerjasama (dengan Bersatu) dan kekal dengan Pas sebab Muafakat Nasional. Kita tiada masalah dengan Pas.
"Kita panggil Pas... Bahagian (UMNO) lain buat program (mereka) panggil Pas. Pas Pulau Pinang akrab, baik, pemimpin baik, (kami) beri kerjasama," katanya.
Dalam masa sama, Musa bertegas UMNO Pulau Pinang akan bertanding di semua kerusi yang dimiliki parti itu sebelum ini yang kini sudah menjadi milik Bersatu selepas wakilnya melompat parti.
Malah, katanya UMNO Pulau Pinang sedia berdepan kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru namun yakin dengan kekuatan sokongan ahli UMNO dan Pas.
Ketika ini, Bersatu di Pulau Pinang memiliki satu kerusi Parlimen iaitu Tasek Gelugor dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Bertam, Teluk Bahang dan Sungai Acheh.
Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata, keputusan untuk tidak bekerjasama secara politik dengan Bersatu itu bukan sesuatu yang baru sebaliknya sudah diputuskan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini.
Katanya, kerjasama dengan Bersatu ketika ini hanya untuk membentuk kerajaan pusat ekoran pergolakan yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga kerajaan tumbang sebelum ini.
Malangnya, menurut Musa, ada pemimpin UMNO sendiri yang membuat kenyataan mengelirukan berkenaan perkara ini sehingga menyebabkan ahli-ahli akar umbi dan rakyat turut keliru.
Ditanya mengenai penerimaan Pas dengan keputusan itu, beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan Pas malah kerjasama dengan parti itu di negeri itu juga bertambah kukuh meskipun Pas ketika ini turut bekerjasama dengan Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam pada Ahad.
#Umno Pulau Pinang #UMNO #kerjasama #Bersatu #PRU15 #pilihan raya umum #PAS #Muafakat Nasional #DAP #Perikatan Nasional #Pakatan Harapan #UMNO Bahagian Bukit Mertajam