'UMNO Pulau Pinang lemah bila papan tanda kena roboh' - Khairuddin
Wan Syamsul Amly
Jun 21, 2015 22:04 MYT
Jun 21, 2015 22:04 MYT
Kepimpinan UMNO Pulau Pinang terbukti lemah apabila struktur binaan nama UMNO di depan pejabat parti dengan mudah dirobohkan kerajaan DAP negeri itu.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kejadian itu merupakan satu tempelak yang memalukan parti secara keseluruhannya.
"Isu papan tanda UMNO yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) atas arahan kerajaan DAP negeri merupakan satu tempelak yang amat memalukan imej UMNO negeri.
"UMNO Pulau Pinang terlupa mereka tidak lagi berkuasa di negeri itu.
"Hakikatnya UMNO perlu akur dengan peraturan yang ditetapkan MPPP. Kalau UMNO membina papan tanda tanpa mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan MPPP, ia sekali gus merupakan kesalahan UMNO sendiri.
"Kalau isu papan tanda yang kecil tidak difahami UMNO, bagaimana hendak berjuang dan merampas kembali negeri itu daripada DAP," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Pada Sabtu, beberapa portal menyiarkan laporan beberapa pegawai pihak berkuasa tempatan MBPP yang merobohkan struktur tulisan UMNO di hadapan jalan masuk ke bangunan tersebut.
Jelas laporan itu, menurut beberapa saksi yang berada di tempat kejadian, tidak ada sebarang notis dikeluarkan oleh pihak MBPP sebelum itu sehinggalah kedatangan para pegawai terbabit dan berlaku pertikaian apabila struktur tulisan itu dikatakan mengganggu lalu lintas.
"Malah sebahagiannya turut mempertikaikan tindakan MBPP itu memandangkan kewujudan gerai-gerai di seberang jalan dan di sekitar kawasan terbabit yang jelas mengganggu lalu lintas tidak diambil tindakan," kata laporan itu.
Dalam pada itu jelas Khairuddin, kepimpinan UMNO negeri juga harus mengambil tindakan keras dalam menangkis tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
"Lihat saja sikap Guan Eng yang begitu tegas serta tidak beri muka langsung pada UMNO.
"Kenapa kepimpinan UMNO Pulau Pinang tidak berani menempelak Guan Eng dalam isu ini. Kes merobohkan papan tanda ini mencemar imej UMNO negeri," ujarnya.
Khairuddin turut membandingkan insiden itu dengan sikap UMNO negeri dalam isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibangkitkannya.
"Semasa isu 1MDB semua buat mesyuarat tergempar untuk menafikan sokongan mereka terhadap laporan polis saya.
"Kini apabila isu papan tanda berlaku. Tiada sebarang laporan polis dibuat, maknanya semua takut dan tahu mungkin binaan itu salah," jelasnya.
Pada Disember tahun lepas, Khairuddin membuat laporan polis terhadap 1MDB tentang pentadbiran kewangan syarikat hak milik kerajaan itu.
Katanya, siasatan terperinci harus dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi syarikat tersebut.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyaman Guan Eng kerana dakwaan mereka mengkhianati orang Melayu di negeri itu.