UMNO Pulau Pinang bimbang kerakusan Guan Eng

Astro Awani
Disember 3, 2016 14:12 MYT
UMNO Pulau Pinang bimbang dengan sikap rakus Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang terus menjual tanah milik kerajaan negeri.
UMNO Pulau Pinang bimbang dengan sikap rakus Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang terus menjual tanah milik kerajaan negeri sehingga menggadaikan nasib rakyat terutama Melayu di negeri itu.
Jurucakap Pulau Pinang, mewakili UMNO bahagian Bukit Bendera, Rafizal Abdul Rahim, turut menyifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai 'broker' tanah yang cukup bijak dalam menjual tanah rakyatnya.
"Ratusan ekar tanah yang dahulunya digazetkan pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) untuk pembinaan pelbagai tujuan yang memberi manfaat kepada rakyat, kini didakwa sudah dijual.
"Tanah milik kerajaan negeri pada 2008 dianggarkan sebanyak 18 peratus, kini hanya tinggal enam peratus. Di manakah wang hasil jualan tanah itu? Di manakah tanah ganti? Perubahan apa sedang berlaku ini?
"Malah, menurut laporan audit, penyumbang utama pendapatan kerajaan negeri ialah hasil daripada cukai tanah dan premium tanah, meningkat dari RM506 juta pada 2014 kepada RM587 juta pada 2015.
"Perbelanjaan kerajaan negeri pula meningkat dari RM270 juta pada 2008, kini RM832 juta," katanya kepada pemberita sewaktu Perhimpunan Agung UMNO 2016, di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang itu berkata kesan dari sikap rakus Guan Eng itu menyebabkan 49 keluarga yang membabitkan 300 penduduk Kampung Mutiara di Batu Ferringhi dipaksa keluar dari rumah kerana tanah yang diduduki akan digunakan untuk pembangunan.
"Senario sekarang, bukan sahaja rumah yang pernah didiami mahal, rumah mampu milik yang akan dibina tidak mampu dimiliki, malah rumah kos rendah yang dibina adalah terhad berbanding rumah mewah.
"Sebab itulah rumah mampu milik di negeri Pulau Pinang dipangil sebagai rumah mampu tengok," katanya.
Tegasnya, derita rakyat negeri itu terus memuncak apabila beberapa kilang yang menjadi tempat anak muda mencari rezeki, mengambil tindakan membuang pekerja.
"Dua syarikat pembuat 'hard disk' antarabangsa iaitu Western Digital dan Seagate ditutup, menyebabkan 3,000 operator hilang pekerjaan berikutan perpindahan kedua-dua syarikat itu ke Thailand.
"Kebanyakan yang menanggung derita adalah operator Melayu.
"Syarikat gergasi, Intel technology turut mengumumkan pengurangan pekerjanya sebanyak 12,000 di seluruh dunia dan difahamkan pengumuman itu akan menyebabkan 1,000 pekerja di Kulim, Kedah dan Pulau Pinang hilang pekerjaan," katanya.
Sehubungan itu ujarnya, UMNO negeri turut mengemukakan empat syor dalam memastikan nasib Bumiputera dibela dengan pelbagai peluang ekonomi diwujudkan.
"Setiap negeri mesti menubuhkan satu badan melatih dan mencari pekerjaan khas untuk Bumiputera, diikuti bantuan perniagaan menerusi penyediaan modal dan khidmat kaunseling diberi kepada golongan muda.
"Kami juga berharap kerajaan pimpinan UMNO melakukan sesuatu bagi mengawal kenaikan harga barang, dengan tiada lagi pengumuman kenaikan harga barang selepas ini.
"UMNO negeri juga mencadangkan supaya pemandu Uber tidak dibenarkan mengambil penumpang di kawasan airport bagi membela nasib pemandu limo airport yang merasakan pendapatan mereka tergugat dek akibat pemandu Uber," katanya.
#DAP #Lim Guan Eng #Uber #UMNO #Umno Pulau Pinang
;