UMNO pinjam Bandar Tun Razak, pulang semula Wangsa Maju kepada MCA
Bernama
April 22, 2018 12:31 MYT
April 22, 2018 12:31 MYT
UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak sementara MCA diberi semula kerusi Parlimen Wangsa Maju.
Menurut Pengerusi BN Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor langkah ini diambil setelah membuat beberapa perkiraan dari segi strategi.
"Kami berterima kasih kepada MCA kerana sudi memberi UMNO untuk bertanding di Bandar Tun Razak.
"Oleh itu, UMNO juga memulangkan semula kerusi Wangsa Maju untuk ditandingi MCA," kata beliau.
Tambahnya, walaupun UMNO berusaha untuk mendapatkan kerusi tersebut ketika sesi rundingan, atas dasar permuafakatan, kerusi Wangsa Maju diserahkan semula kepada MCA.
"Ini bagi memastikan Barisan Nasional dapat menampilkan saingan yang kuat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini," kata beliau yang dicalonkan semula untuk kerusi Parlimen Putrajaya.
Kerusi Parlimen Wangsa Maju bakal ditandingi Ketua MCA Wilayah Persekutuan Datuk Yew Teong Look sementara Bandar Tun Razak bakal ditandingi Adnan Seman dari UMNO.
Selain mereka, antara muka baharu yang turut dicalonkan adalah Ong Siang Liang (Kepong) dari Gerakan, Datuk J. Loga Bala Mohan (Segambut) dari myPPP serta Ann Tan (Bukit Bintang), Heng Sinn Yee (Cheras) dan Chan Quin Er (Seputeh) dari MCA.
Selain itu, ada beberapa individu yang dicalonkan semula di kawasan masing-masing iaitu Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau (Batu) dan Ketua UMNO Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin (Lembah Pantai).
Sementara itu, penyandang yang dicalonkan semula selain Tengku Adnan adalah Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa) dan Datuk Rozman Isli (Labuan).
Hanya seorang penyandang Ahli Parlimen BN yang tidak dikekalkan iaitu Datuk Ahmad Fauzi Zahari.
Tempat beliau akan digantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique (Setiawangsa).
#Bandar Tun Razak
#Barisan Nasional
#BN
#MCA
#pilihan raya umum
#PRU14
#Tengku Adnan Tengku Mansor
#UMNO
#Wangsa Maju
#Wilayah Persekutuan
#Zulhasnan Rafique