UMNO, PH tolong menolong dapat majoriti lebih besar ke Putrajaya - Zaid

Astro Awani
Mac 10, 2021 17:48 MYT
Jelas Zaid, DAP perlu mempertimbangkan soal penerimaan terhadap gabungan UMNO-PH jika mahu berkuasa. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: UMNO dan Pakatan Harapan (PH) mampu membawa impian kembali semula ke Putrajaya jika saling bantu membantu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, paling penting penubuhan kerajaan stabil dengan memikirkan cara mendapat majoriti lebih besar untuk mentadbir negara.
"Ini adalah gabungan yang boleh membentuk kerajaan dengan majoriti besar, saya tidak tahulah siapa yang menang, tidak tahu siapa jadi Perdana Menteri nanti, pada saya itu tidak mustahak. Kerajaan yang stabil adalah lebih mustahak.
"Siapa yang memerintah dan menjadi Perdana Menteri tidak menjadi keutamaan kerana perkara itu perlu dipilih mengikut siapa yang mendapat kerusi lebih banyak.
"Apa yang mustahak kedua-dua gabungan itu boleh mendapat majoriti besar dan boleh mentadbir lebih baik. Tetapi saya tidak tahu siapa yang memerintah nanti," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Sebelum ini, Zaid dalam catatan di laman Facebooknya dilaporkan mencadangkan UMNO menggantikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini dipimpin Dr Mahathir Mohamad.
Ujarnya, PH memerlukan strategi sama yang digunakan ketika memenangi pilihan raya pada 2018 iaitu mengikatkan kerjasama dengan kumpulan pemimpin Melayu yang kuat untuk menang pada PRU15.
Katanya , UMNO mempunyai pemimpin yang mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi pengundi Melayu, dan bersama-sama PKR-UMNO akan berupaya memperoleh lebih banyak kerusi seperti ketika Barisan Nasional (BN) menguasai sebelum ini.
"Ini akan membawa kestabilan kepada negara dan banyak perkara boleh dilakukan jika kita mempunyai kerajaan yang stabil.
"UMNO juga harus berhenti mempercayai propaganda sendiri bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP adalah musuh rakyat. Ketakutan masa lalu mesti dibuang dan barulah impian baharu dapat terlaksana," katanya.
Dalam pada itu jelas Zaid, DAP perlu mempertimbangkan soal penerimaan terhadap gabungan UMNO-PH jika mahu berkuasa.
"Mereka (DAP) perlu bergabung dengan mereka yang kuat. Saya rasa mereka orang politik berpengalaman, kalau hendak berkuasa, perlu bergabung dengan mereka yang kuat.
"Kalau dia bergabung dengan tidak kuat, tidak boleh menanglah.
"Tidak kira UMNO kalau hendak memerintah, dia kena bergabung untuk mendapat kerusi yang banyak, baru dapat kerajaan yang stabil," tegasnya lagi.
#Anwar Ibrahim #UMNO #DAP #Barisan Nasional #pilihan raya umum
;