UMNO, PH belum bincang berhubung hasrat bekas ahli UMNO sertai PH
Bernama
Februari 7, 2023 19:11 MYT
Februari 7, 2023 19:11 MYT
PUTRAJAYA: Tiada sebarang perbincangan diadakan setakat ini dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung hasrat beberapa bekas ahli UMNO untuk menyertai gabungan itu, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Setakat ini belum dibincang dengan saya lagi," katanya mengulas laporan PH akan berbincang dengan UMNO mengenai hasrat bekas ahli UMNO untuk menyertai gabungan itu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (MTVET) Bil 1/2023 hari ini, A
Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, PH belum lagi membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima beberapa bekas ahli UMNO yang telah menyuarakan hasrat untuk menyertai gabungan itu.
Anwar berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan pemimpin UMNO tidak lama lagi sebagai menghormati parti itu yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Pada 27 Jan lepas, UMNO memecat 44 ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di atas pelbagai kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 November lepas. - BERNAMA