UMNO pertimbang tarik diri daripada menyokong PN

Umavathi Ramayah
Oktober 13, 2020 23:22 MYT
Ahmad Maslan berkata, UMNO pertimbang untuk tarik diri daripada PN. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : UMNO mengumumkan parti itu sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata UMNO memberi syarat baharu kepada kerajaan PN jika mahu meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan perjanjian bertulis yang dimaksudkan dengan terperinci.
Ia dinyatakan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri oleh pengerusi badan perhubungan UMNO negeri-negeri dan ahli jawatankuasa pengurusan UMNO.
Sementara itu, Ahmad berkata, UMNO akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) agar ia didaftarkan dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah.
"UMNO berpandangan kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan.
"Sebarang keputusan yang UMNO lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara," katanya.
Pada masa yang sama, katanya, UMNO akan terus berjuang demi kepentingan rakyat untuk memastikan pandemik COVID-19 dapat ditangani oleh kerajaan dan pihak yang berkaitan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Ditanya adakah UMNO akan menarik diri serta merta daripada PN sekiranya gabungan itu enggan bersetuju dengan syarat baharu, Ahmad Maslan berkata perbincangan lanjut akan dibuat berhubung perkara tersebut.
#UMNO tarik diri #umno tarik diri sokong PN #ahmad zahid #Zahid Hamidi #Ahmad Maslan #UMNO #Perikatan Nasional
;