UMNO perlu tingkatkan ketahanan berjuang dalam politik Melayu dinamik - Mohamad
Bernama
Disember 4, 2023 23:49 MYT
Disember 4, 2023 23:49 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman menyedarkan UMNO bahawa parti itu perlu meningkatkan ketahanan untuk terus berjuang dalam arena politik Melayu yang semakin dinamik.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO menghormati keputusan PRK yang memihak kepada pembangkang itu dengan iltizam untuk terus menimba pengajaran.
"Tugas mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah sukar tetapi bukan mustahil. Tetapi buat masa ini, UMNO mesti menerima realiti bahawa orang Melayu masih jauh dari mempercayainya sebagai wakil politik yang berkesan.
"Ujian sebenar dalam semua ini ialah ujian ketahanan. UMNO tidak akan mudah menyerah apalagi berfikir, bahawa jalan keluar bagi meraih sokongan Melayu telah tertutup rapi," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
PKR Kemaman pada Sabtu lepas menyaksikan PAS mengekalkan status quo selepas calonnya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Mohamad berkata UMNO menonjolkan seorang pahlawan bangsa dengan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang bagi mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK itu, namun tetap tewas.
"Justeru, semangat, cara kerja, strategi dan kepimpinan, semuanya perlu sentuhan dan kecekalan baharu serta kesabaran, jika UMNO ingin bersaing untuk menjuarai semula pengaruh dan kepercayaan bangsa Melayu dalam politik," katanya.
Beliau berkata UMNO juga dilihat terus dijauhi oleh golongan muda Melayu dan parti itu masih belum berjaya senada dengan golongan itu.
"Sesuatu harus dilakukan (UMNO) dengan segera. Generasi muda berpotensi untuk dimenangi dan diraih sokongan mereka. Hanya kaedahnya mesti sesuai citra, aspirasi dan keperluan kehidupan mereka," katanya.
UMNO juga katanya tidak boleh tergelincir daripada landasan kesederhanaannya dan ia adalah benteng penting untuk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
-- BERNAMA