UMNO perlu tampilkan imej parti pro rakyat - KJ

Bernama
November 25, 2016 10:08 MYT
Anggota Parlimen Rembau sejak 2008 itu juga yakin pengundi juga mahu UMNO setia kepada perjuangan parti yang mengutamakan kepentingan rakyat akar umbi. - Gambar fail
UMNO perlu tampil dengan imej kukuh sebagai parti prorakyat dan mengikis persepsi negatif kononnya ia platform untuk mencari 'projek' bagi kepentingan peribadi.
Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin menyampaikan pesanan menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2016 minggu depan, bahawa persepsi positif itu perlu dipromosi dan yang negatif dikikis jika UMNO mahu menang dalam 'perang' Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.
Katanya mana-mana individu termasuk anggota Pemuda UMNO yang memasang angan-angan perlu segera muhasabah diri dan kembali kepada asas perjuangan parti untuk kekal relevan di mata dan hati rakyat.
"Kita kena pilih mereka (pemimpin) yang betul-betul boleh bekerja. Saya rasa sudah lama saya dalam Pemuda dan saya boleh membuat penilaian siapa yang betul-betul bekerja, ada yang duduk dalam medan ini untuk menguntungkan mereka sahaja.
"Jadi, sangat penting untuk kita sebagai pemimpin buat keputusan dengan jujur, pilih mereka yang boleh memberi nilai tambah kepada Pemuda dan parti, dan bukan untuk mereka sendiri," katanya kepada Bernama.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan bakal meninggalkan platform Pemuda pada pemilihan akan datang selepas dua penggal memimpin sayap parti itu.
Walaupun tiada had umur untuk jawatan yang disandangnya, Khairy, 40, menyarankan pemimpin sayap parti itu seharusnya dalam lingkungan usia bawah 45 tahun.
Beliau menasihatkan warga Pemuda supaya mengubah sikap mementingkan diri dan mengutamakan parti agar UMNO dilihat sebagai parti prorakyat dan bukan propemimpin.
"Kita kena tonjolkan pemimpin yang ikhlas, yang buat kerja. Tidak semestinya pemimpin yang buat kerja itu tiada duit, mungkin ada yang daripada golongan berada, dalam bidang perniagaan, tetapi dia buat kerja membantu rakyat, itulah yang kita hendak," katanya.
Anggota Parlimen Rembau sejak 2008 itu juga yakin pengundi juga mahu UMNO setia kepada perjuangan parti yang mengutamakan kepentingan rakyat akar umbi.
"Saya rasa orang Melayu ingin lihat UMNO kembali kepada asas dan mahu lihat parti ini sebagai tempat untuk satukan Melayu, ingin lihat UMNO setia bukan sahaja kepada pemimpin tetapi kepada perjuangan untuk Melayu, untuk Malaysia negara majmuk.
"Saya lihat kemenangan kita akan datang jika kita buat kerja. Yang menang adalah orang yang rajin buat kerja. Itu strategi kita. Pembangkang akan main sentimen, tetapi kita tunjuk kita lebih rajin kerja," katanya.
Menyentuh strategi UMNO untuk menangani cabaran politik semasa termasuk serangan bekas pemimpin parti yang memilih haluan baharu, Khairy yang lebih terkenal dengan jolokan 'KJ' itu mengakui perkara itu tidak boleh diambil mudah.
Bagaimanapun, katanya, UMNO tidak boleh obses atau terlalu mengikut rentak musuh politik mereka kerana parti mempunyai perjuangan dan agenda sendiri.
"Kalau setiap hari apa yang kita buat mesti dibandingkan dengan pembangkang, kita akan jadi tidak aktif. Kita kena proaktif buat kerja mendekati rakyat," katanya.
Mengenai bakal pengganti beliau, Khairy yakin Pemuda sudah bersedia menerima kepimpinan baharu memandangkan banyak usaha telah ditumpukan untuk menyediakan calon pengganti.
"Dari tahun lepas saya telah bercakap secara umum untuk tidak akan bertanding lagi dalam jawatan Pemuda. Dan mereka perlulah bersedia untuk menggantikan saya dalam tempoh setahun dua lagi.
"Saya yakin Pemuda UMNO akan terus kekal sebagai satu pergerakan yang kuat kepada parti walaupun saya tidak ada lagi dalam kepimpinannya," katanya.
Menyentuh Persidangan Agung UMNO tahun ini, Khairy berkata pihaknya sedang membuat persiapan dari segi pembahas, usul dan strategi lain dalam memastikan mereka bersiapsiaga secara total.
Katanya, usai Persidangan Agung UMNO, kem Pemuda akan terus memfokuskan kepada pilihan raya memandangkan ini persidangan terakhir sebelum rakyat kembali memilih di pentas pilihan raya umum.
Perhimpunan Agung Pemuda dijadual diadakan pada 30 Nov dan Perhimpunan Agung UMNO dijadual dirasmikan pada 1 Dis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). -- BERNAMA
#Khairy Jamaluddin #Pemuda UMNO #Perhimpunan Agung UMNO #politik
;