UMNO perlu semai semangat politik inklusif - Reezal Merican
Astro Awani
November 26, 2014 21:46 MYT
November 26, 2014 21:46 MYT
Ahli UMNO diminta menyemai semangat politik inklusif demi menjamin kelangsungan Barisan Nasional (BN) sendiri dalam lanskap politik negara.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagaimanapun berkata, isunya kini apakah UMNO sendiri mahu berubah dan lebih dekat di hati rakyat.
"Kita seolah-olah tidak ada pilihan, kita tercabar dengan keterbukaan maklumat bercetak dan alam maya yang menjadi rujukan masyarakat masa kini.
"Apakah UMNO mahu dilabel sebuah pergerakan parti egois sekali gus tidak pernah mendengar keluh kesah kesusahan rakyat?" katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.
Reezal mengulas pertanyaan wartawan mengenai ramuan kelangsungan UMNO selepas 68 tahun penubuhannya.
Istilah inklusif sendiri dapat dikaitkan dengan persamaan, keadilan, dan hak individual dalam pembagian sumber-sumber seperti politik, pendidikan, sosial dan ekonomi, katanya.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, istilah inklusif itu sendiri dilihat tanggungjawab besar yang harus digalas ahli serta semua pucuk pimpinan parti bersama parti-parti komponen yang lain.
"Jika semangat itu tersemai, ia pasti menyelesaikan segala masalah dalaman dan sebarang persengketaan antara parti di bawah payung BN.
"Walau dilihat selama ini BN sudah bersatu padu, kita perlu sedar masih ada sedikit lompong-lompong kosong untuk penambahbaikan semangat setiakawan ini," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, semangat pemimpin-pemimpin terdahulu harus dijadikan platform dalam menggariskan maksud landasan inklusif yang sebenar.
"Ia demi kepentingan untuk semua pimpinan dan ahli memahami pergolakan politik dan ekonomi secara menyeluruh dan menghargai persahabatan di dalam BN secara ikhlas," katanya.
Reezal turut menyentuh serangan bertubi-tubi pembangkang yang diakui 'menggoyang' keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN sendiri.
"Sebab itu kita harus komited, bersatu dan menangkis serangan dengan penuh yakin.
"Ahli UMNO sendiri perlu ingat mereka bukan sempurna dan rakyat mendamba sebuah parti yang berintegriti dan terbaik," ujarnya.
Katanya lagi, banyak negara luar sudah mula membuka mata dan melihat perkembangan politik negara hari ini.
"Kerana itu UMNO perlu berada di hadapan dan menjadi parti contoh terbaik untuk negara luar contohi," jelasnya.