UMNO perlu segera bentuk parti mantap selepas pemilihan, tarik semula keyakinan orang Melayu

Rahimah Abdullah
Mac 19, 2023 17:15 MYT
UMNO perlu bersiap siaga dengan segera membentuk parti yang mantap dan menarik semula keyakinan pengundi Melayu selepas selesai proses pemilihan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: UMNO perlu bersiap siaga dengan segera membentuk parti yang mantap dan menarik semula keyakinan pengundi Melayu selepas selesai proses pemilihan.
Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Azizuddin Sani menyifatkan langkah itu sebagai paling mencabar buat UMNO terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Saya rasa ini adalah langkah mencabar untuk UMNO kali ini dalam tempoh terdekat kita ada PRN nanti.
"UMNO sekarang ini kena siap siaga segera selepas pemilihan ini untuk membentuk parti yang mantap dan menarik keyakinan orang Melayu sebagai parti tunjang orang Melayu,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Ujarnya, pemilihan UMNO kali ini diadakan dengan musyawarah atau aman tanpa berlaku kekecohan.
“Ini merupakan pendekatan baik cuba dibawa UMNO.
"Pemilihan ini memperlihatkan UMNO itu masih lagi kekal dalam konteks kedudukan hirarkinya, selalunya mahukan tokoh tertentu dan siapa mendapat penerimaan Presiden selalunya menang.
“Ramai tokoh rapat dengan kepimpinan nampaknya sedang mendahului dalam kepimpinan kali ini. Namun ini langkah awal dalam usaha mengukuhkan hierarki dan parti itu sendiri.
“Langkah seterusnya, selepas team kepimpinan telah dibentuk, saya rasa mungkin ke arah untuk mendapatkan rakyat terutama Melayu untuk kembali menyokong UMNO,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu memainkan peranan yang besar untuk merapatkan semula saf kepimpinan pasca pemilihan parti.
“Paling penting, selepas pemilihan, semua berlapang dada dan menerima keputusan ahli akar umbi dan balik kepada saf dan bekerja semula.
"Saya rasa ini menjadikan semula UMNO sebagai parti tunjang orang Melayu,” katanya lagi.
Jika perpecahan tidak diatasi, ia akan melemahkan UMNO dan parti itu tidak akan mampu bersaing dengan parti-parti lain yang berusaha mengejar pengundi sama iaitu pengundi Melayu.
#Azizuddin Sani #Pemilihan UMNO #Melayu #Penganalisis Politik UUM
;