UMNO perlu perkasa semangat pemberontak Melayu - Bekas ADUN

Astro Awani
Mei 30, 2018 09:09 MYT
TENGKU PUTRA HARON: UMNO adalah satu-satunya parti individu yang mempunyai jumlah kerusi yang terbanyak dalam Parlimen kini. - Facebook/TPJN47Kempas
Semua ahli UMNO diminta memperkasakan semangat pemberontak Melayu semula jadi yang lahir sejak zaman kemerdekaan negara dahulu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat, berkata semangat itu juga terbukti memerdekakan generasi dari kerajaan 'orang putih' satu masa dahulu.
"Hidupkanlah cawangan-cawangan UMNO kita dengan mengadakan mesyuarat dan teruslah berjuang dalam parti yang sama tanpa memilih parti alternatif.
"Kalaupun kita kecewa dengan pucuk pimpinan yang telah membawa kita hampir ke tahap kehancuran, inilah peluang untuk kita menentukan hala tuju dan pucuk pimpinan parti kita yang baharu, pada pemilihan yang akan datang.
"Ambil balik kuasa parti kita dari tangan pemimpin-pemimpin kita yang sudah terlalu lama duduk di tampuk kuasa UMNO," katanya dalam satu kenyataan di sini.
BACA: Kerajaan baharu macam tempe
BACA: Bersatu bakal ganti UMNO?
Tegasnya, ahli UMNO juga diminta tidak lagi mengikut telunjuk mana-mana pihak yang mahu siapa yang harus di angkat dalam berpasukan.
"Tepuk dada dan tentukan kuasa yang di tangan anda, sebagaimana rakyat telah menentukan nasib mereka di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14," ujarnya.
Dalam pada itu jelasnya, mana-mana pemimpin atau ahli UMNO yang berhijrah ke parti lain dilihat akan dianaktirikan.
"Mereka akan dianggap sebagai orang yang tidak boleh dipercayai kerana telah mengkhianati parti asal untuk bersama pihak yang menang.
"Di awal pasca pilihan raya sahaja, tiga dari wakil rakyat UMNO yang telah diberi kepercayaan telah melompat parti kononnya untuk menyelamatkan kuasa Melayu di Johor.
"Sedangkan mereka tahu di Johor selama ini diuar-uarkan tiada istilah orang Melayu, Cina atau India melainkan Bangsa Johor," tegasnya.
Justeru katanya, ia menjadi kesan apabila ramai dari ahli-ahli UMNO mula keluar dari UMNO dan berhijrah ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru sahaja menang dibawah panji-panji PKR pada PRU yang lepas.
"Ramai di kalangan mereka adalah ketua-ketua cawangan dan ramai juga yang tidak mahu mengadakan mesyuarat kerana hilang semangat.
"Ini tidak dibantu pula dengan keputusan sesetengah ketua UMNO Bahagian yang lebih selesa dengan mempunyai jumlah cawangan yang lebih kecil memandangkan kita bukan lagi parti yang memerintah," ujarnya.
Tengku Putra Haron turut meminta ahli-ahli UMNO terus percaya kepada keramat parti yang hadir dari semangat mahu terus berjuang dengan ikhlas dan tanpa putus asa.
"Parti UMNO adalah satu-satunya parti individu (bukan gabung) yang mempunyai jumlah kerusi yang terbanyak kini dalam Parlimen.
"Ertinya kita masih lagi disokong dan diberi kepercayaan untuk memimpin oleh sebahagian besar bangsa kita di Semenanjung dan Sabah.
"Selebihnya dibahagi kepada dua parti Melayu lain yang tidak lama lagi pengundinya akan sedar, ketika hak keistimewaan tersurat mahupun tersirat bangsa Melayu menjadi terhakis dalam penggal yang mendatang ini," tambahnya.
BACA: Jawatan Presiden UMNO akan dipertandingkan - Ahmad Zahid
BACA: Pemilihan parti: RoS beri UMNO sehingga April 2019
#ADUN Kempas #Melayu #PPBM #PRU14 #Tengku Putra Haron Aminurrashid #UMNO
;