UMNO perlu lakukan tindakan paling radikal - Mohamad
Rahimah Abdullah, Sahlizah Mohamed
Disember 4, 2019 22:06 MYT
Disember 4, 2019 22:06 MYT
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengajak ketiga-tiga sayap pergerakan parti melakukan tindakan yang paling radikal bagi mengembalikan UMNO ke peranan sebenarnya.
Tegasnya UMNO perlu kembali menjadi nakhoda utama Malaysia setelah 18 bulan tersungkur dari kekuasaan.
"UMNO tidak boleh terus susut. UMNO mesti mengemudi bahtera Malaysia ini. Ia adalah tanggungjawab kita.
"Jika layarnya koyak, atau dindingnya reput, atau lantainya bocor, maka kita wajib membaikinya. Dengan kudrat yang kuat, dengan pemikiran terbaik, dan dengan sikap dan niat yang betul. Secara bersungguh-sungguh, tanpa jemu," katanya semasa menyampaikan Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO di PWTC di sini pada Rabu.
Katanya, walaupun tidak lagi membentuk kerajaan selepas PRU yang lepas, parti tidak sepatutnya dirampas dan dibiarkan rosak begitu sahaja.
"Kita belum tewas, saudara saudari sekalian! Selagi kita, mahu bangkit! Kerana, tewas yang sebenar-benarnya adalah, apabila kita berputus asa dan enggan bangun kembali setelah tersungkur.
"Lalu, bekerja keraslah untuk UMNO dan Malaysia ini. Ingatlah, perjuangan dan kerja keras sesuatu bangsa adalah, satu-satunya jalan untuk mengangkat darjat bangsanya, ke tingkat yang lebih tinggi dan mulia," ujarnya lagi.
Kata beliau, UMNO mesti mempunyai agility, atau ketangkasan untuk belajar.
"Kita harus tangkas, bingkas dan lekas belajar perkara baharu, memahaminya dan mempraktikkannya.
Maknanya UMNO mesti menjadi ‘a learning political entity and an idea based party’ atau sebuah entiti politik yang sentiasa belajar dan berasaskan idea," tambahnya.
Ahli UMNO juga mesti mempunyai ‘resilience’ atau daya tahan dalam perjuangan.
"Kita tidak boleh menyerah. Tidak pernah putus asa. Tidak boleh tunduk kepada apa jua tekanan. Sama ada dalaman mahupun luaran. Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada menukar haluan," kata Mohamad.
Masa depan UMNO katanya sangat bergantung kepada bagaimana parti memanfaatkan sains dan teknologi.
"Ingatlah, penyelesaian isu seperti kemiskinan, kesenjangan pendapatan, pengangguran, kos sara hidup rakyat semuanya ada pada sains dan bukan pada politik.
"Kita hanya dapat mengemukakan penyelesaian tuntas, melalui penggunaan pelbagai jenis penemuan, data raya, model matematik, sains psikologi dan pelbagai lagi ilmu saintifik, yang ada sekarang," katanya.
Perhimpunan Agung UMNO 2019 melibatkan 5603 perwakilan.
#Malaysia
#Melayu
#Mohamad Hasan
#parti
#perhimpunan umno
#politik
#Presiden UMNO
#rakyat Malaysia
#UMNO