UMNO perlu kerja keras tangani defisit kepercayaan - Muhyiddin
Astro Awani
Mei 23, 2015 18:55 MYT
Mei 23, 2015 18:55 MYT
UMNO perlu lebih berkerja keras untuk memperbetulkan persepsi 'defisit kepercayaan' yang dialami parti tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia perlu dilakukan melalui pergerakan Puteri dan Pemuda parti itu bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadapnya demi masa hadapan.
Tambah beliau, harapan parti itu pada masa akan datang terletak pada bahu generasi muda masa kini.
Beliau juga menyeru pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO membuktikan keupayaan untuk terus membela rakyat lebih-lebih lagi dalam keadaan yang kini kian mencabar.
“Kita kena tulus ikhlas supaya dapat membentuk persepsi positif iaitu parti yang ada kredibiliti dan integriti supaya parti kita diyakini.
"Ada pihak kata, situasi kini amat mencabar, ada yang kata "trust deficit"...kepercayaan menurun. Saya tidak tahu ia persepsi atau satu kenyataan tetapi tanggungjawab itu terletak di atas bahu kita terutama anak muda Putera dan Puteri UMNO,” tambah beliau.
Jelasnya lagi, semangat mendekati masyarakat dari akar umbi perlu diteruskan bagi mengenal pasti masalah rakyat serta usaha mencari penyelesaian dapat dilakukan.
Ia selaras dengan usaha UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Gelombang Merah Jambu Fans 2015 di Dataran Johor Bahru hari ini.
Pada himpunan itu, lebih seribu pengunjung membanjiri dataran tersebut sejak awal pagi.