UMNO perlu kekal momentum kemenangan untuk hadapi PRU15 - Ahmad Maslan
Bernama
Mac 16, 2022 05:00 MYT
Mac 16, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor bukti kekuatan parti yang perlu diteruskan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sehubungan itu parti perlu mengambil peluang daripada kelemahan lawan susulan kemenangan BN dan UMNO dalam beberapa siri PRN untuk menentukan waktu sesuai PRU15.
"Apabila musuh dalam keadaan lemah, masa itulah kita patut buat serangan dan ketika ini kejayaan demi kejayaan bermula dari Melaka dan Johor. PRN Sarawak juga boleh kita anggap sebagai kejayaan kerana mereka rakan karib kita.
Sekarang ini kita serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk buat keputusan dan langkah seterusnya," katanya kepada media selepas ucapan perasmian Perhimpunan Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan di sini malam tadi.
Dalam pada itu Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata perkara paling mustahak adalah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti bagi menghadapi pilihanraya nanti.
"Kembalikan keyakinan rakyat kepada perjuangan UMNO kerana parti ini amat besar yang memfokuskan dasar pembangunan negara, apa yang disebutkan tadi adalah pencerahan daripada susur galur perjuangan UMNO untuk Malaysia keseluruhannya," katanya.
Zambry yang juga Setiausaha Agung BN berkata semua ahli juga perlu membawa perubahan baharu dalam perjuangan parti untuk menghadapi pilihan raya nanti dan sentiasa belajar daripada kekurangan dan kelemahan.
Ahli MT UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata mesej jujur dan ikhlas disampaikan Mohamad khasnya berkaitan hala tuju parti selepas memenangi PRN Melaka dan Johor.
"Ia tidak hanya memikirkan kejayaan di kedua-dua PRN itu tetapi mahu parti terus bekerja keras kerana UMNO belum lagi selamat. Jangan bongkak, riak dan sombong. Itulah mesejnya," katanya.
Turut senada adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ucapan Mohamad itu menyantuni dan mewajahi aspirasi akar umbi sama seperti yang telah dibangkitkan di peringkat mesyuarat cawangan-cawangan dan bahagian sebelum ini.
Asyraf berkata kebanyakan Bahagian UMNO inginkan PRU15 diadakan kerana bagi mewujudkan sebuah negara yang stabil adalah melalui proses pembentukan sebuah kerajaan yang kuat.
-- BERNAMA