UMNO perlu jarakkan diri daripada sentimen politik kebencian - Syed Ali

Astro Awani
Ogos 28, 2021 16:13 MYT
Kata Syed Ali, UMNO tidak mahu timbul anggapan masalah yang berlaku hari ini berpunca dari sikap sekelompok pemimpin yang perlu diberikan jawatan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: UMNO perlu menjarakkan diri dari mainan sentimen politik kebencian sesama sendiri dan berbau hasutan jika mahu mengembalikan sokongan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, UMNO sebagai parti terbesar kepada orang Melayu di negara ini dan sudah bertapak lebih 60 tahun sewajarnya semakin matang dan berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan lanskap politik semasa.
"Hari ini, rakyat melihat UMNO dengan rasa berbelah-bahagi dan dihimpit kecurigaan akibat pendekatan serta tingkah-laku sesetengah pemimpin parti itu yang dilihat lebih ghairah mengejar kedudukan dan mengutamakan perjuangan peribadi.
"Realitinya rakyat melihat ada segelintir pemimpin UMNO akan mula menanam bibit-bibit kebencian, bermain dengan provokasi, melakar pelbagai andaian negatif dan menyemarakkan sentimen kepartian sempit apabila gagal meraih sesuatu jawatan.
"Sepatutnya pemimpin parti di setiap peringkat sewajarnya lebih bersikap terbuka dan bersedia menerima teguran serta kritikan daripada ahli bawahan kerana perlakuan dan tindakan seseorang pemimpin itu tidak semestinya baik dan boleh diterima pakai," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Sabtu.
BACA: Nazri Aziz umum bersara, beri peluang orang muda
BACA: MKT UMNO sokong PM, setuju jenama 'Keluarga Malaysia' dan 'Kerajaan Malaysia'
Dalam pada itu katanya, UMNO juga tidak mahu timbul anggapan masalah yang berlaku hari ini berpunca dari sikap sekelompok pemimpin yang perlu diberikan jawatan, dihujani kata pujian, disanjung dan dipertahankan secara membabi buta.
"Sementara pihak yang menongkah arus pula harus dipinggir atau dinyahkan dari parti.
"Inilah ketaksuban melampau yang boleh melemahkan kekuatan sesebuah parti," tegasnya.
Justeru itu ujar Syed Ali, UMNO juga sudah boleh bersedia menerima reformasi politik seperti yang berlaku di kebanyakan negara dengan mengambil kira kepentingan umum.
Tambahnya, reformasi itu perlu melihat kepada populasi golongan muda sebagai penyumbang terbesar kepada pembentukan sistem politik negara di masa akan datang.
"Banyak pihak berpendapat sudah sampai waktunya UMNO membebaskan diri daripada politik tradisional dengan pendekatan lebih realistik di mana pemegang jawatan utama tidak semestinya diwajibkan dipilih sebagai ketua pentadbiran kerajaan jika keadaan politik semasa memerlukan perubahan seperti itu dilakukan.
"Pada hemah saya, kerana amalan kebiasaan itu sudah berakar umbi dan diguna pakai sebagai satu kemestian, maka akan tumbuh benih kebencian dan mewujudkan puak dalam parti akibat daripada 'kejanggalan' tersebut, walhal ianya perlu dan boleh berlaku sesuai dengan situasi politik semasa.
"Jika pemimpin UMNO sentiasa bermain dengan ciptaan provokasi, sentimen kebencian dan sindiran sinis sesama kelompok parti tidak dapat disekat, saya khuatir barah itu akan merebak di peringkat akar umbi yang akhirnya tunjang UMNO menjadi reput dan tumbang ditolak rakyat," jelasnya lagi.
#UMNO #Politik Malaysia #Syed Ali Al-Habshee #Ismail Sabri
;