UMNO perlu ganti muka baharu untuk depani cabaran - Alwi
Muhafandi Muhamad
Julai 20, 2015 15:46 MYT
Julai 20, 2015 15:46 MYT
Mana-mana tokoh kepimpinan yang menjadi liabiliti kepada parti perlu diganti dengan muka-muka baharu.
Itu seruan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad terhadap pemimpin yang dilihat tidak lagi layak berada di barisan pimpinan untuk akur dan memberi ruang kepada muka baharu.
“Sudah sampai masanya UMNO berubah dalam mendepani cabaran kerana masa kini kebatilan dan fitnah menguasai kebenaran,” ujar Mohd Alwi ketika di tanya kedudukan UMNO dalam menghadapi pelbagai persepsi dan isu semasa.
Selain itu, katanya kecanggihan teknologi telah menyebabkan pelbagai maklumat sama ada palsu atau benar mudah tersebar dan diperoleh masyarakat.
“Kadang-kadang puncanya dari orang atas... pucuk pimpinan kena susun kembali.
“Kita di bawah ini terima akibat dari keputusan (pihak) yang di atas. Kadang-kadang kita tak tahu pun tapi kita sayang pada parti dan negara,” katanya.
Katanya kepimpinan kini perlu mengukur kemampuan diri dalam mendepani cabaran mendatang.
“Dalam waktu yang sama pemimpin-pemimpin yang rasa diri mereka tak relevan tak perlu pertahan diri. Kena ukur diri kita.
“Bagilah peluang orang baharu tapi kalau kita betul kena pertahankan, kena buktikan. Rakyat nak tengok kebenaran ketelusan. Kita kena jujur dan berani ‘face the crowd’, tengok biji mata itu yang penting,” ulas Alwi.
Beliau berkata selepas menziarahi Veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad di sini hari ini.
Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas menjelaskan, rakyat sudah pandai menilai dan membuat keputusan.
Justeru, beliau menyifatkan amat penting bagi UMNO menguatkan barisan kepimpinannya dalam mendepani cabaran masa kini.