UMNO perlu buat pendirian mengenai Muafakat Nasional - Ismail Sabri

Astro Awani
Disember 18, 2021 08:35 MYT
Ismail Sabri Yaakob berharap Perhimpunan Agong UMNO (PAU) pada bulan depan dapat menyelesaikan isu kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional. - Gambar fail
BERA: UMNO perlu membuat keputusan yang jelas mengenai isu Muafakat Nasional (MN) yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli UMNO.
Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap Perhimpunan Agong UMNO (PAU) pada bulan depan dapat menyelesaikan isu berkenaan.
Menurut Ismail Sabri, MN yang diputuskan dalam PAU sebelum ini masih lagi wujud memandangkan UMNO tidak mengeluarkan apa-apa keputusan terkini mengenai kerjasama tersebut.
"MN masih ada… masih ada, walaupun sudah lama tak bermesyuarat tapi masih ada dan saya harap adakan mesyuarat segera dan MT atau PAU perlu membuat keputusan lah dengan lebih jelas supaya ahli tak keliru, ahli-ahli keliru ada cakap 'yes' ada yang cakap 'no'. Itu pun kita (kena) buat keputusan yang jelas," kata Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di sini, pada Sabtu.
Kata beliau lagi, semua pihak seharusnya mengurangkan kenyataan mengenai isu tersebut yang bertentangan dengan keputusan yang dicapai dalam PAU lepas.
Dalam pada itu, Ismail mencadangkan agar setiap UMNO negeri diberikan kelonggaran untuk membuat keputusan bersesuaian dalam isu kerjasama dengan Pas.
Ini kerana, jelas beliau, suasana politik adalah berbeza di antara negeri-negeri dan UMNO di negeri lebih memahami keperluan politik masing-masing.
Terdahulu, perwakilan UMNO Bahagian Bera sepakat mengusulkan agar Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian itu meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga penghujung penggal bagi menyelesaikan isu-isu memulihkan ekonomi, kestabilan politik dan krisis COVID-19.
#Muafakat Nasional #UMNO #Perhimpunan Agung UMNO #ismail sabri yaakob