UMNO perlu bina kekuatan, perkukuh penyatuan kuasa Melayu - Syed Ali

Astro Awani
Ogos 6, 2021 11:56 MYT
Syed Ali turut menyanggah saranan sesetengah pemimpin UMNO yang mencadangkan agar ditubuhkan 'kerajaan sementara' diwakili pelbagai kaum. - Foto Astro AWANi
KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO perlu membina kekuatan kuasa orang Melayu dan memperkukuhkan penyatuan umat Islam yang berpecah-belah kerana pergeseran politik.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menjelaskan, adalah lebih bermanfaat jika sesama pemimpin Melayu Islam termasuk UMNO mencari titik persamaan ke arah membaiki keretakan dan kerosakan yang berlaku akibat perebutan kuasa.
"Pemimpin UMNO yang dilihat umum sebagai yang paling lantang mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan sepatutnya lebih berhemah agar tidak dituduh menjadi penyumbang kepada perpecahan orang Melayu.
"Saya berpandangan tempoh September untuk undi percaya terhadap Muhyiddin seperti yang diperkenankan Yang Dipertuan Agong bukannya jangka masa yang begitu lama bagi UMNO membuktikan parti itu mempunyai cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Khamis.
BACA: Segerakan usul di Dewan Rakyat, sebelum semakin ramai menjadi 'katak' - Ahmad Zahid
BACA: Idris Jusoh kekal sokong PM Muhyiddin dan PN, anggap ia pilihan lebih baik
[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin | 04 Ogos 2021
BACA: Ahli Parlimen Kapit zahir sokongan kepada Muhyiddin, Kerajaan PN
BACA: Ahli Parlimen Maran zahir sokongan kepada Muhyiddin, taat setia kepada Agong
BACA: Pihak yang tarik sokongan kepada Muhyiddin berkepentingan peribadi - Nazri
Syed Ali menjelaskan, isu keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri tidak perlu dijadikan alasan untuk memporak-perandakan keadaan.
Ujarnya, kedudukan Muhyiddin sudah diperakui Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan jaminan Perdana Menteri sendiri akan mengadakan undi percaya pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan September ini.
Dalam pada itu, Syed Ali turut menyanggah saranan sesetengah pemimpin UMNO yang mencadangkan agar ditubuhkan 'kerajaan sementara' diwakili pelbagai kaum kerana cadangan seumpama itu merupakan satu pengkhianatan terhadap kerajaan Melayu Islam yang ada hari ini.
"Sebagai pemimpin Melayu, sepatutnya kita bertegas dan berusaha mempertahankan kerajaan berteraskan Melayu Islam, biarpun bukan kita yang berkuasa.
Perdana Menteri | Ada pihak tidak senang hati
"Cadangan menubuhkan kerajaan sementara seperti sengaja dirancang bagi meruntuhkan sebuah negara berpaksikan Islam hanya semata-mata bagi memenuhi kerakusan nafsu politik," ujarnya.
Selain itu, Syed Ali turut berpandangan tidak wajar tindakan disiplin dikenakan terhadap mana-mana pemimpin UMNO yang menzahirkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.
Beliau turut berpendapat mereka melihat kepentingan negara dan rakyat melebihi agenda politik.
"Mereka sudah tentunya mempunyai alasan kukuh untuk tempoh sementara bersama kerajaan PN pimpinan Muhyiddin sehingga berlakunya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seperti ketetapan yang pernah dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO sendiri.
"Sepatutnya juga kepimpinan UMNO bersyukur dan berlapang dada bila ada di kalangan mereka dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri termasuk pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri.
"Saya percaya dan yakin pelantikan Ismail Sabri adalah tindakan bijak kerajaan PN bagi menstabilkan keadaan politik dan kesejahteraan negara yang ketika ini sedang bertarung dengan wabak COVID-19," katanya.
Tambahnya, pengalaman dan kekentalan perjuangan Ismail Sabri bersama UMNO selama ini amat cemerlang serta dilihat antara pemimpin yang mampu memperkasakan hala tuju parti itu khususnya bersama kerajaan yang ada hari ini.
"Oleh sebab itu, saya berasa hairan dan meragui apakah niat sebenarnya apabila ada desakan supaya anggota Kabinet daripada UMNO termasuk Ismail Sabri meletakkan jawatan, sedangkan mereka adalah pemimpin Melayu dan berada dalam sebuah kerajaan Melayu Islam.
"Serahkanlah kepada ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk membuat keputusan sama ada menyokong mereka atau sebaliknya.
"Saya menyeru kepada seluruh pemimpin yang mewakili parti politik bersendikan Islam dan Melayu khususnya UMNO dan Bersatu agar kembali kepada semangat musyawarah dan berpegang kepada permuafakatan umah demi maruah dan masa depan orang Melayu dalam usaha memartabatkan syiar Islam di negara ini," jelasnya.
#Dewan Rakyat #UMNO #kabinet #pilihan raya #COVID-19 #PM
;