UMNO perlu berani berdepan cabaran - Khairy
Dania Zainuddin
Ogos 2, 2016 08:45 MYT
Ogos 2, 2016 08:45 MYT
UMNO perlu berani berdepan dengan cabaran daripada mereka yang menentang perjuangan parti secara habis-habisan.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini memandangkan mereka bukan terdiri daripada kalangan orang biasa, tetapi yang telah keluar daripada parti UMNO dan antara orang penting dalam dunia politik.
"Ini adalah cabaran langsung kepada perjuangan kita, dan dalam keadaan sekarang ini kita tidak boleh leka dan kita perlu bangkit, kerana mereka ini mahu musnahkan perjuangan kita," kata Khairy Jamaluddin dalam ucapannya pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya 2016.
Bagi Khairy Jamaluddin, apa yang keramat adalah parti, bukannya individu.
"Apabila mereka membuat keputusan meninggalkan UMNO, mereka keluar daripada wadah perjuangan bangsa dan saya yakin orang Melayu juga tidak bersama mereka.
"Orang Melayu sayangkan perjuangan parti. Ya, kita sayang pemimpin dan kita pertahankan pemimpin tetapi apabila pemimpin itu memisahkan diri daripada perjuangan UMNO, maka tiada tempat lagi bagi mereka dalam perjuangan Melayu," kata Khairy Jamaluddin.
Selain itu, Khairy Jamaluddin mengingatkan anggota UMNO untuk memberi perhatian kepada sentimen politik sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 bagi memastikan rakyat, khususnya dari bandar, tidak terpengaruh dengan sentimen negatif yang dibawa pembangkang.
"Pertarungan yang berlaku pada hari ini adalah antara servis dan sentimen, terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar.
"UMNO sentiasa memberi perkhidmatan terbaik, dan berdasarkan servis, UMNO tiada saingan dan mudah untuk menang dalam PRU. Tetapi sentimen yang dibawa oleh pihak pembangkang mampu menafikan segala servis yang diberi sebelum ini," kata Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin menekankan terdapat banyak perkara positif yang sudah dibawa oleh parti dan anggota UMNO perlu menyampaikannya kepada rakyat.
"Tahun lepas kita berjaya wujudkan 1.8 juta pekerjaan, pendapatan isu rumah meningkat, masa menunggu di hospital turun 50 peratus, ini semua perkara positif yang boleh dibawa kepada rakyat," kata Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin turut menasihati anggota UMNO agar menerapkan mentaliti mahu berjaya sebagai keyakinan untuk menang pada PRU14.
""Kalau kita sendiri tidak yakin, bagaimanakah orang luar boleh yakin bahawa UMNO mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," kata Khairy Jamaluddin.
Mengakui parti sedang berdepan pelbagai cabaran dan kontroversi, Khairy Jamaluddin mahu setiap anggota UMNO kekal bersama dan menyokong presiden parti.
"Kita sekarang berdepan dengan keadaan di mana prejudis terlalu tinggi. Kita perlu guna akal dan berani walaupun dikecam. Kita perlu bersama dengan presiden dalam menegakkan kebenaran dan keadilan," kata Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, antara cabaran dalam berdepan PRU14 adalah akan wujud 'medan pertempuran' di kawasan bandar dan pinggir bandar.
"Saya percaya dan yakin dengan kekuatan BN di Sabah, Sarawak, luar bandar; saya percaya kita dapat pertahankan UMNO di kawasan ini.
"Tetapi mereka dari bandar ini yang membawa ideologi dan pemikiran ke kawasan asal mereka dan cuba mengubah persepsi orang luar bandar. Kalau kita tidak fokus, kita akan berdepan gelombang tsunami dari bandar ke luar bandar," kata Khairy Jamaluddin.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin juga menggesa anggota UMNO untuk turut beri perhatian kepada penjawat awam kerana perubahan mentaliti yang mula melihat UMNO dan BN sebagai parti dan tidak lagi sinonim dengan 'kerajaan'.