UMNO perlu akur menterinya terus berkhidmat dalam kerajaan PN

Bernama
Mac 31, 2021 05:12 MYT
Sivamurugan berkata sekiranya UMNO kekal dengan pendirian untuk tidak meneruskan kerjasama dengan PN, ia seharusnya dibuat ketika keadaan negara lebih menentu dan stabil. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: UMNO seharusnya akur dengan kebolehan dan sumbangan semua menteri daripada parti itu, sekali gus 'merestui' mereka untuk terus kekal berada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata apa yang utama buat masa ini adalah agenda, usaha dan perancangan kerajaan dapat diteruskan untuk kepentingan rakyat serta negara.
"Keberadaan mereka dalam Kabinet harus dilihat dengan cara ia bukan berikan kelebihan kepada PN atau sesiapa tetapi sebenarnya untuk rakyat," katanya dalam program 'Malaysia Petang Ini' yang disiarkan secara langsung di Bernama TV semalam.
Katanya, penglibatan mereka dalam kabinet menandakan pemimpin UMNO itu diberi pengiktirafan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat sumbangan dan peranan mereka itu besar dan memberi makna.
"Dalam konteks sekarang ini, parti harus memberikan keutamaan kepada apakah sumbangan parti kepada rakyat dan biarkan rakyat sendiri menilai pemimpin atau pun tokoh yang menjadi anggota Kabinet itu.
"Sudah pasti ahli parti juga harus melihat kenapa perlu khuatir dengan kebolehan pemimpin mereka yang diberikan jawatan oleh Perdana Menteri sendiri yang mana keterlibatan mereka dalam perancangan kerajaan sejak awal memberikan impak," katanya.
BACA: Menteri-menteri UMNO dinasihat terus kekal dalam kabinet - PM
BACA: Aneh bila PM pujuk menteri UMNO kekal dalam Kabinet - Anwar Ibrahim
BACA: PAU2020: 'Kalau anak jantan, dia harus letak jawatan sebagai menteri' - Zahid Hamidi
Beliau, yang juga Pensyarah Sosiologi Politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), berkata sekiranya UMNO kekal dengan pendirian untuk tidak meneruskan kerjasama dengan PN, ia seharusnya dibuat ketika keadaan negara lebih menentu dan stabil.
Katanya, ini bagi mengelakkan rakyat dari menyalahkan pemimpin UMNO kononnya mereka lebih mengutamakan kepentingan atau personaliti tertentu daripada kepentingan rakyat.
"Hari ini rakyat meneliti, memahami dan juga melihat apa yang berlaku dan dikhuatiri itu akan memberikan impak besar jika keputusan-keputusan seperti ini dibuat dalam masa yang tidak sesuai.
"Barangkali harus menunggu sehingga keadaan lebih stabil dan lebih menentu... ketika itu keputusan barangkali lebih bersifat rasional daripada bersikap emosional," katanya.
BACA: Menteri, timbalan menteri UMNO kekal jawatan sehingga Ogos - Zahidi
BACA: Jangan tunggu lagi, letak jawatan segera - Tengku Razaleigh
BACA: Nazri kritik Zahid 'kurang sifat kepimpinan', label menteri UMNO 'pengecut'
Sivamurugan berpendapat keputusan untuk kekal dalam kerajaan tidak menandakan bahawa menteri-menteri tersebut ingkar kepada suara akar umbi memandangkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak membuat keputusan bila mereka perlu keluar dan melepaskan jawatan dalam kerajaan.
"Tiada satu keputusan yang dibuat kecuali kenyataan beberapa pemimpin yang mendesak supaya para menteri UMNO ini segera keluar dari Kabinet... ia tidak selari dengan apa yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO untuk memberikan mandat pada MT untuk membuat keputusan," katanya.
-- BERNAMA
#Sivamurugan Pandian #Muhyiddin Yassin #UMNO #politik #kerajaan #majlis tertinggi #perhimpunan #kabinet #rakyat #menteri #Menteri UMNO #Kerajaan Perikatan Nasional #Suara Akar Umbi #MT UMNO #letak jawatan #emosional #rasional #kekal dalam kerajaan
;