UMNO Perlis tidak bercadang putus hubungan dengan pimpinan Pusat - Shahidan
Fareez Azman
Mac 20, 2021 14:16 MYT
Mac 20, 2021 14:16 MYT
KANGAR: UMNO Perlis tidak pernah bercadang untuk memutuskan hubungan dengan kepimpinan parti berkenaan di peringkat Pusat, tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Sebaliknya, Shahidan secara peribadi berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan pucuk pimpinan parti malah mempunyai hubungan akrab dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Kami (UMNO Perlis) akan terus berpegang dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini iaitu tidak membentuk sebarang kerjasama politik dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP," jelasnya ketika ditemui pemberita di Kangar pada Jumaat.
Sebelum ini, Shahidan dalam satu temu bual bersama portal berita berkata, UMNO Perlis membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan kepimpinan UMNO Pusat sekiranya kekal dengan pendirian mengakhiri kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Perhimpunan Agung UMNO edisi 2021, akhir bulan ini.
Menurut Ahli Parlimen Arau itu, UMNO Perlis juga dalam masa sama terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan melanggar perjanjian yang dibuat parti itu ketika penubuhan kerajaan PN.
"Saya menyokong kerajaan PN kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin... saya juga bekerjasama dengan Pas, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana saya adalah Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC)," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Shahidan berkata, UMNO Perlis tidak akan mencadangkan apa-apa usul dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang bakal berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini.
#Muhyiddin Yassin
#Anwar Ibrahim
#Zahid Hamidi
#Shahidan Kassim
#PPBM
#UMNO
#PAS
#PKR
#DAP
#Perlis
#Kangar
#Perdana Menteri
#politik
#Parlimen
#PAU 2020