'UMNO Perak tidak terlibat perhimpunan Baju Merah'

Bernama
November 20, 2016 09:57 MYT
Antara peserta kumpulan Baju Merah yang menyertai perhimpunan Bersih 5 di ibu negara pada Sabtu. - Astro AWANI/Mariah Ahmad
UMNO Perak tidak pernah mengeluarkan arahan supaya setiap bahagian menghantar anggota untuk menyertai perhimpunan Baju Merah di ibu negara hari ini, tegas Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Zambry, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, berkata pihaknya sama sekali tidak terlibat dalam perhimpunan itu, malah tidak pernah berbincang mengenainya sama ada di peringkat negeri atau bahagian.
"Saya sendiri tidak tahu daripada mana datangnya maklumat yang mengatakan kita (UMNO Perak) terlibat sama dalam perhimpunan Baju Merah," katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Penerangan Bersama Pemimpin Akar Umbi Perak di sini, pada Sabtu.
LAPOR LANGSUNG Bersih 5 di Kuala Lumpur
Zambry mengulas berita yang diviral kononnya Setiausaha Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie mengeluarkan arahan menyatakan imbuhan, makanan dan kemudahan pengangkutan disediakan kepada setiap anggota UMNO Perak sekiranya berminat menyertai perhimpunan itu.
BACA: Bersih 5: Berlangsung aman tanpa drama
Sementara itu, Ahmad Shalimin berkata beliau langsung tidak mengetahui tentang arahan berkenaan, tetapi percaya ia sengaja dilakukan pihak tertentu dengan tujuan mencemarkan imejnya.
"Arahan yang dikeluarkan itu tidak dijelaskan dengan lanjut dan secara tiba-tiba gunakan nama saya. Ia tidak masuk akal dan tiada sebarang kewajaran untuk saya melakukan tindakan sedemikian," katanya. -- Bernama
#Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie #Baju Merah #Bersih 5 #UMNO Perak
;