UMNO Perak tidak terlibat dalam pertukaran Ketua Puteri UMNO negeri - Saarani
Abd Razak Mohd Ali
Jun 6, 2022 17:20 MYT
Jun 6, 2022 17:20 MYT
TAPAH: Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak tidak terlibat dalam pelantikan baharu Ketua Puteri UMNO negeri itu, kerana ia diputuskan oleh Ketua Puteri UMNO Pusat.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berlandaskan kepada perlembagaan parti, semua urusan sayap diuruskan sendiri oleh ketua masing-masing, termasuk dalam soal pelantikan Ketua Puteri UMNO negeri-negeri.
Oleh sebab itu, katanya, Ketua Puteri UMNO Pusat, Datuk Zahida Zarik Khan mempunyai kuasa melantik dan menukar mana-mana Ketua Puteri UMNO negeri-negeri.
"Pada saya tidak ada unsur-unsur menyalahi perlembagaan. Ketua Puteri UMNO (Pusat) telah menggunakan hak dia untuk melantik dan menukar.
“Saya tidak nampak ada isu sebab Puteri UMNO Perak ini ditukar,” katanya kepada pemberita selepas program Moh Mengopi Bersama DSSM di Pasar Awam Tapah, di sini, hari ini.
Saarani yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong berkata, beliau juga tidak dirundingi mengenai pelantikan Ketua Puteri UMNO Lenggong, Rohaida Mohamad Yaakub sebagai Ketua Puteri UMNO Perak yang baharu.
“Dia (Zahida) tak pun berunding dengan saya dan dilantik atas kuasa itu, maka saya menghormatinya," ujarnya.
Menurutnya, semua Ketua Puteri UMNO bahagian di Perak telah dipanggil dan diberikan nasihat mengenai hak ketua mereka untuk melantik dan menukar teraju di peringkat negeri.
“Sesiapa pun ketua yang dilantik mereka perlu terus bersatu dan fokus kepada peranan masing-masing.
“Mereka perlu memberi tumpuan terhadap usaha mendekati pengundi muda wanita di negeri ini,” kata beliau.
Baru-baru ini media melaporkan Ketua Puteri UMNO Perak, Suzmaniza Sulaiman digugurkan secara mengejut sehingga dikatakan telah menyebabkan gerak kerja sayap UMNO itu sedikit terganggu.