UMNO Perak pertahankan Zahid Hamidi

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 16, 2023 15:00 MYT
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tiada jaminan parti itu akan terus jadi kuat, jika Ahmad Zahid meletakkan jawatan. - Gambar fail
IPOH: UMNO Perak sebulat suara mempertahankan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk kekal sebagai presiden, di sebalik desakan beberapa pihak susulan prestasi tidak memberangsangkan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tiada jaminan parti itu akan terus jadi kuat, jika Ahmad Zahid meletakkan jawatan.
Tambahan pula, katanya desakan seumpama itu tidak berlaku kepada pemimpin parti lain walaupun mereka pernah berkali-kali mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya sebelum ini.
"saya semak baru-baru ini, daripada bilangan kerusi yang dipertandingkan itu, 18 kerusi Perikatan Nasional (PN) hilang deposit. Tak ada pula calon UMNO yang hilang deposit.
"Kenapa tak ada orang menuntut supaya Presiden (Bersatu), Pengerusi PN letak jawatan? 18 kerusi hilang deposit.
"Jadi kita buat keputusan tidak (desak Ahmad Zahid letak jawatan)... dan tak ada satu jaminan kalau Datuk Seri Zahid Hamidi letak jawatan orang Pas akan sokong UMNO, tak ada jaminan jika Datuk Seri Zahid letak jawatan orang Bersatu akan bubar Bersatu masuk UMNO, tak ada.
"Jadi kita tak akan menari ikut gendang mereka," katanya.
Beliau ditemui selepas program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di Ipoh pada Rabu.
Menurutnya, Biro Politik UMNO akan mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur malam ini yang akan membincangkan prestasi PRN.
Katanya, UMNO juga akan membuat post mortem dan akan terus memperbaiki sebarang kelemahan dari semasa ke semasa.
Pada PRN enam negeri 12 Ogos lalu, UMNO melalui Barisan Nasional hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang diperuntukkan atau 17.6 peratus.
Ekoran daripada itu, terdapat beberapa individu, termasuk bekas ahli UMNO yang mendesak agar Presiden UMNO meletakkan jawatan bagi memastikan parti itu terus relevan.
#PRN #Zahid Hamidi #letak jawatan #Saarani Mohamad
;