UMNO Perak mahu semua hormati keputusan MKT
Amirrul Rabbani
Julai 9, 2021 17:08 MYT
Julai 9, 2021 17:08 MYT
IPOH: Badan Perhubungan UMNO Perak mahu semua pihak menghormati keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang menarik sokongan terhadap Perdana Menteri serta-merta.
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor khususnya ketika rakyat sedang mendepani suasana semasa yang sukar.
“Keputusan MKT pada 7 Julai dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor khususnya mendepani suasana sukar yang sedang dihadapi segenap lapisan rakyat ketika ini.
“Mengharungi realiti politik yang kian mencabar, ancaman terhadap amalan demokrasi berparlimen serta tuntutan mendesak supaya hambatan ganas pandemik COVID-19 segera diurus dengan sewajarnya, UMNO perlu menunjukkan keazaman politik dalam membuat keputusan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Justeru Menteri Besar Perak itu berkata, kepimpinan negeri akan terus menggembleng kekuatan untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat yang terjejas.
Malah katanya kerajaan negeri juga akan terus berusaha dalam memastikan program vaksinasi COVID-19 dapat dijayakan.
Sementara itu, Saarani turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang masih-masing dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan.
“Berbekalkan pengalaman luas, kedua-dua pemimpin UMNO ini diharap dapat memanfaatkan sebaiknya jawatan yang disandang untuk membantu parti membawa negara keluar daripada kemelut COVID-19 serta membantu rakyat yang terkesan membina semula kehidupan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan mesyuarat MKT parti mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta.
Menurut Ahmad Zahid, segala panduan utama yang digariskan oleh UMNO sebagai syarat sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini telah gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan.
Keputusan MKT UMNO | UMNO desak Tan Sri Muhyiddin Yassin undur sebagai Perdana Menteri
#UMNO Perak
#Saarani Mohamad
#Menteri Besar Perak
#UMNO
#Zahid Hamidi
#Muhyiddin Yassin
#tarik sokongan
#MKT UMNO