UMNO pecat keahlian Shariff dan Fadzillah, tanding bebas PRK DUN Chempaka

Astro Awani
Mac 11, 2015 21:35 MYT
Keputusan pemecatan ini telah dibuat melalui Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi di bawah Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO. - Gambar fail
UMNO hari ini memecat keanggotaan Sharif Mahmood dan Fadzillah Hussin yang menjadi calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, daripada parti itu berkuat kuasa serta merta.
Menurut Media UMNO, pemecatan itu berikutan tindakan mereka yang bertentangan dengan keputusan parti.
Sharif berdaftar sebagai ahli UMNO Cawangan RKT Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang manakala Fadzillah pula dari Cawangan Kepala Batas, Tumpat.
Keputusan pemecatan ini telah dibuat melalui Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi di bawah Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO.
Surat pemecatannya telah dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO hari ini yang ditandatangani oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Sharif, 59, dan Fadzillah, 55, yang masing-masing bertanding sebagai calon bebas adalah antara lima calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
Calon lain adalah Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, bekas calon bebas PRK DUN Pengkalan Kubor Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.
BN memutuskan tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.
PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.
#Fadzillah Hussin #Sharif Mahmood
;