UMNO pecah tradisi?

Hafiz Marzukhi
Disember 8, 2015 02:48 MYT
Tradisi yang dimaksudkan ialah pada tahun ini, mesyuarat sayap-sayap di dalam parti tidak dirasmikan Timbalan Presiden tetapi ketua sayap masing-masing. -Gambar hiasan
Sejak 69 tahun penubuhannya, UMNO merupakan sebuah parti yang jarang lari daripada tradisi.
Presiden UMNO sentiasa diberi mandat untuk mentadbir negara dan 'tradisi' itu kekal sehingga ke hari ini.
Walau bagaimanapun, kini, parti ini dilihat sudah mula memecahkan tradisi.
Tradisi yang dimaksudkan ialah pada tahun ini, mesyuarat sayap-sayap di dalam parti tidak dirasmikan Timbalan Presiden, tetapi ketua sayap masing-masing.
Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mesyuarat Majlis Tertinggi baru-baru ini, keputusan ini diambil berikutan permintaan daripada ketua-ketua sayap.
Sama ada perkara itu merupakan kebenaran atau tidak, ia bukanlah perkara pokok.
Perkara yang lebih penting ialah UMNO, sebagai sebuah parti yang sering berlandaskan tradisi, tetapi pada tahun ini, memilih untuk tidak mengikut tradisi.
Mengapa tradisi perlu dikekalkan, atau diubah?
Ketika Tun Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986, beliau masih diberikan peluang oleh presiden parti ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merasmikan sayap-sayap dalam parti.
Senario berbeza berlaku pada Timbalan Presiden parti iaitu Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana beliau tidak diberikan peluang yang sama sepertimana yang diberikan Dr Mahathir kepada Musa.
Tindakan melawan tradisi ini dilihat bakal menjadi tumpuan media dan pemerhati politik terarah kepada Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang bermula hari ini.
Ini kerana perwakilan biasanya akan mendengar amanat Presiden dan Timbalan Presiden, serta ucapan penggulungan oleh kedua-duanya.
Sudah pasti akan wujud kelainan yang agak ketara pada persidangan kali ini.
Biasanya, Perhimpunan Agung UMNO akan dipenuhi dengan seruan, amanat, serta ingatan kepada kaum Melayu melalui bahas serta usul yang diutarakan sepanjang persidangan berlangsung.
Bagaimanapun, pemerhati umum yang kerap berada di luar dewan dan mengikuti perbahasan melalui skrin besar serta televisyen di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tidak lagi akan dihidangkan dengan apa yang berlaku dalam dewan persidangan.
Adakah pendekatan ini akan terus menjadi amalan, dan kemudiannya dianggap sebagai tradisi baharu?
#majlis tertinggi #Musa Hitam #Najib Razak #Perhimpunan Agung UMNO