UMNO patut ada Presiden baharu sebelum 2019 - Zulkifli

Astro Awani
Disember 14, 2018 07:00 MYT
ZULKIFLI: Dalam masa enam bulan, kita telah kehilangan Sarawak, separuh Sabah dan kini akan hilang lagi ahli-ahli Parlimen dari parti UMNO sendiri. - Gambar fail
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diminta melepaskan jawatannya selewat-lewatnya sebelum fajar tahun baharu 2019 lantaran gagal memberi hala tuju kepada parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Ketua Pemuda UMNO Ampang, Zulkifli Rajalie menegaskan, Ahmad Zahid juga seharusnya menyedari beliau tidak lagi mendapat kepercayaan dari pemimpin dan ahli akar umbi untuk mengemudi parti ke arah yang lebih baik.
"Sudah tiba masanya kita mencari pemimpin yang tidak bermasalah dan boleh meletakkan parti sebagai keutamaan.
"Kita telah memberi kepercayaan kepadanya sebagai pemangku dan kemudiannya mandat sebagai presiden yang secara langsung menjadi Pengerusi Barisan Nasional (BN).
"Dalam masa enam bulan, kita telah kehilangan Sarawak, separuh Sabah dan kini akan hilang lagi ahli-ahli Parlimen dari parti UMNO sendiri," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Sudah tiba masanya kita mencari pemimpin yang tidak bermasalah dan boleh meletakkan parti sebagai keutamaan
Pada Jumaat, Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keengganan Ahmad Zahid untuk meletakkan jawatan dalam tempoh 10 hari akan mengakibatkan lagi 10 ahli Parlimen UMNO keluar dari parti itu.
Selain Hamzah, ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti bersamanya ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Dalam pada itu kata Zulkifli, situasi yang berlaku akhir-akhir ini membuktikan Ahmad Zahid sudah telah hilang pengaruh di kalangan BN dan keyakinan oleh pemimpin UMNO sendiri.
BACA: Presiden UMNO, lepaslah jawatan... - Pemuda Kedah
BACA: Ramai keluar parti, UMNO hilang punca - Veteran parti
"Justeru, kami mengharap agar Ahmad Zahid akan meletakkan kepentingan parti sebagai agenda utama dengan meletakkan jawatan sebelum akhir tahun ini.
"Pemuda UMNO Ampang akan terus menggerakkan langkah sehingga Ahmad Zahid melepaskan jawatannya demi menjaga maruah parti.
"Sudah menjadi tradisi dalam UMNO, pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan parti tetap di teruskan," ujarnya.
Zahid di laman Twitternya sebelum ini menegaskan, mana-mana pemimpin UMNO yang sudah memutuskan untuk keluar parti tidak berhak lagi untuk bercakap mengenai parti berkenaan.
#Barisan Nasional #Hamzah Zainuddin #Pemuda UMNO #PRU #UMNO #Zahid Hamidi
;