"UMNO parti kebanyakan, tidak terbentuk atas percaturan elit, pengkhianatan" - Khalid Nordin

Fareez Azman
Mac 10, 2021 17:01 MYT
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan, UMNO adalah parti yang merintis jalan perpaduan Melayu memerdekakan negara. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan UMNO untuk tidak bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah kerana parti berkenaan mendengar hasrat akar umbi.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, selama ini parti itu tidak pernah mengabaikan kepentingan ummah dan kerana itu apa sahaja keputusan yang dibuat termasuk menghentikan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 adalah kerana rakyat.
“UMNO parti orang kebanyakan. Kami bukan parti yang terbentuk dengan percaturan golongan elit yang khianat pada mandat rakyatnya.
“Kerana mendengar hasrat akar umbilah UMNO memutuskan sedemikian bahawa ia akan bertanding sebagai Barisan Nasional," kata beliau dalam hantaran di akaun Facebook peribadinya pada Rabu.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled menegaskan, pada ketika ini, tumpuan perlu diberikan kepada rakyat gdan bukannya rundingan berterusan peringkat atasa yang tidak akan mempengaruhi pemikiran rakyat.
"Akhirnya saya menyeru kepada seluruh penyokong UMNO, kita mesti segera bekerja dengan rakyat untuk rakyat bagi memenangkan UMNO pada PRU akan datang.
"Jangan buang masa dengan polemik politik di peringkat atasan. Kerana masa depan UMNO adalah pada undi mereka yang biasa-biasa," jelas beliau lagi.
Mengimbas sejarah yang pernah dilakar, UMNO, kata Mohamed Khaled, merupakan parti yang merintis jalan perpaduan Melayu memerdekakan negara.
Malah parti itu juga menerima kembali parti Semangat 46 demi perpaduan Melayu seperti mana mengajak Pas untuk menubuhkan Muafakat Nasional (MN).
"Kebelakangan ini terlalu banyak sekali gesaan untuk UMNO memikirkan semula pendiriannya untuk tidak mendukung Perikatan Nasional pada PRU ke 15.
"Pelbagai alasan di gunakan terutama sekali retorik perpaduan ummah bahawa seolah-olah UMNO mengabaikannya. UMNO tidak pernah mengabaikan kepentingan ummah barang seketika pun. UMNO lah yang merintis jalan perpaduan Melayu memerdekakan negara.
"UMNO lah yang menerima kembali Semangat 46 demi perpaduan Melayu . Dan UMNO juga lah yang mengajak PAS untuk bersama menubuhkan Muafakat Nasional," jelasnya dalam kenyataan media yang dimuatnaik di Facebook miliknya pada Rabu.
Tambah Mohamed Khaled, keputusan tidak menyertai PN bukan mengenepikan kepentingan Melayu, sebaliknya UMNO mempunyai perhitungan politiknya tersendiri.
"UMNO bukan parti dengan ‘herd mentality’. UMNO adalah parti dengan pendirian bahawa survival UMNO itu lebih utama dari survival PN. Dan nampaknya ramai orang lupa pendirian UMNO ini berakar dari pendirian penyokong akar umbinya,” katanya.
Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.
Sementara itu, UMNO dan Pas pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat MN di Ibu Pejabat UMNO di ibu negara dipercayai bagi membincangkan hala tuju kedua parti itu menjelang PRU15.
BACA: Pas pilih UMNO atau Bersatu? Mesyuarat Muafakat Nasional petang ini ada jawapannya?
BACA: Ketegangan politik UMNO-Bersatu, PAS kini di 'persimpangan dilema'?
#PPBM #Khaled Nordin #UMNO #PAS #Barisan Nasional #Facebook #PRU #pilihan raya #politik #Melayu #presiden #pilihan raya umum #perpaduan #rakyat #Muafakat Nasional #MN #PN #Perikatan Nasional #hubungan
;