UMNO Pahang zahir rasa sedih, doakan Najib tabah

Sinar Harian
Ogos 24, 2022 10:30 MYT
WAN ROSDY: Insya-Allah, Parlimen Pekan akan terus dijaga, diurus tadbir dan diberi perhatian sewajarnya demi manfaat rakyat secara keseluruhannya. - Gambar fail
KUANTAN: UMNO Pahang menzahirkan rasa sedih berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman bersalah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO Pahang mendoakan semoga bekas Perdana Menteri itu dan keluarga diberi ketabahan, kekuatan serta kecekalan dalam menghadapi ujian yang cukup berat itu.
"Amat besar jasa dan sumbangan yang telah beliau curahkan dalam membangun dan memajukan negeri Pahang serta negara sepanjang khidmatnya sebagai Perdana Menteri.
"Kami sangat hargai setiap jasa, keringat dan sumbangan yang telah dicurahkan pemimpin itu selama ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, perjuangan dan komitmen tidak berbelah bahagi Ahli Parlimen Pekan itu dalam mempertahankan parti dan membongkar penipuan serta putar belit pihak lawan sentiasa menjadi inspirasi kepada UMNO Pahang.
"Insya-ALLAH, Parlimen Pekan akan terus dijaga, diurus tadbir dan diberi perhatian sewajarnya demi manfaat rakyat secara keseluruhannya," katanya. - Sinar Harian
#UMNO Pahang #Najib Razak #Mahkamah Persekutuan #Wan Rosdy Wan Ismail
;