UMNO Pagoh tolak pemecatan Muhyiddin

Raffi Bachik
Jun 25, 2016 15:30 MYT
Tindakan pemecatan Muhyiddin juga didakwa dibuat tanpa mengikut prosedur seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti Fasal 20 Disiplin. - Foto Astro AWANI
UMNO Pagoh hari ini menolak keputusan Majlis Tertinggi (MT) untuk memecat Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat dan menganggap keputusan itu sebagai suatu tidak berasas.
Reaksi itu dinyatakan menerusi satu mesyuarat khas dipengerusikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad.
"MT perlu faham bahawa Muhyiddin telah lama bersama kita di UMNO Bahagian Pagoh. Kita telah wujudkan suasana kekeluargaan dan sudah pasti apa yang mengguris hati Muhyiddin akan turut kita rasai," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di sini.
Tindakan pemecatan Muhyiddin juga didakwa dibuat tanpa mengikut prosedur seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti Fasal 20 Disiplin.
Ismail turut mengakui pemecatan Muhyiddin akan memberi impak kepada UMNO.
"Saya juga merasakan pemecatan Muhyddin tidak menguntungkan malah merugikan UMNO. Disaat sepatutnya ahli MT merasakan UMNO kuat, kita merasakan ini bukan pemecatan yang betul."
Selain itu, MT juga didakwa telah menyalahguna perlembagaan parti dengan mengenepikan amalan demokrasi.
Ini memandangkan Muhyiddin tidak dipanggil untuk mempertahankan tuduhan terhadapnya sejak daripada awal penggantungannya.
Sementara itu, Ismail turut mengakui berasa dikhianati dengan keputusan MT memandangkan tindakan Muhyiddin menegur presiden sebelum ini adalah bertujuan memperkukuhkan parti yang bukan untuk digunakan demi kepentingan peribadi.
MT UMNO pada Jumaat membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir kerana berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.
Sementara Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, digantung keahlian sehingga laporan diterima daripada Jawatankuasa Disiplin.
#Khaled Nordin #Majlis Tertinggi UMNO #Muhyiddin Yassin #Mukhriz Mahathir #Najib Razak #pecat #pemecatan #Shafie Apdal #UMNO
;