UMNO Negeri Sembilan minta penjelasan isu video aksi lucah

Sinar Harian
Jun 2, 2021 00:27 MYT
Video berkenaan dibimbangi akan merosakkan imej baik parti. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Sekumpulan Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Negeri Sembilan meminta seorang pemimpin di negeri itu untuk memberikan penjelasan berhubung penyebaran video aksi lucah yang tular sejak Jumaat lalu.
Menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Maarof, pihaknya telah menghantar surat dan laporan kepada Lembaga Disiplin parti pada Isnin lalu berhubung video berkenaan yang dibimbangi akan merosakkan imej baik parti.
"Saya telah menghantar laporan kepada Lembaga Disiplin termasuk surat kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan untuk mengambil tindakan sewajarnya.
"Penyebaran video aksi lucah ini sangat mengaibkan, malah akan menjatuhkan reputasi baik UMNO. Sehingga kini kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, tuan punya badan gagal dikesan, Facebook telah dipadam, telefon juga tidak dijawab.
"Semua group WhatsApp beliau telah keluar, jadi kami tidak tahu apa situasi sebenar, jika tidak benar sila tampil dan beri penjelasan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan dan juga pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan perkara tersebut.
"Pemuda UMNO tetap dengan prinsip, benar tetap benar, salah tetap salah. Semoga perkara yang berlaku ini menjadi iktibar untuk kita semua," katanya.
Bagaimanapun, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan penjelasan gagal apabila nombor telefon pemimpin terbabit gagal dihubungi berikutan tidak lagi aktif.
Artikel asal disiarkan Sinar Harian: UMNO Negeri Sembilan minta penjelasan isu video aksi lucah
#UMNO Negeri Sembilan #pemimpin #Seremban #aksi lucah #Lembaga Disiplin
;