UMNO nafi Zahid Hamidi arah Ketua Bahagian gerak usul desak PM bubar Parlimen

Ridauddin Daud
Ogos 22, 2022 16:59 MYT
Tangkap layar tersebut dipercayai disebarkan di Facebook, mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Ketua Bahagian UMNO supaya meminta cawangan membuat usul berkenaan.
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan dakwaan cawangan UMNO diminta mengemukakan usul mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen dengan segera.
Tangkap layar berkaitan dakwaan tersebut tular dalam media sosial pada Isnin, antara lain mendakwa UMNO akan memecat Ismail Sabri sekiranya beliau ingkar.
"Sebaran infografik ini saya tandakan PALSU / FAKE.
"Sebab sememangnya palsu / fake. Entah siapalah yang sebar," tulis Ahli Parlimen Pontian itu di Twitter rasminya sebentar tadi.

Sebaran infografik ini saya tandakan PALSU / FAKE. Sebab sememangnya palsu / fake. Entah siapalah yg sebar. pic.twitter.com/XAhqAyfbSe

— Ahmad b Maslan (@ahmadmaslan) August 22, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tangkap layar tersebut dipercayai disebarkan di Facebook, mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Ketua Bahagian UMNO supaya meminta cawangan membuat usul berkenaan.
Dakwaan itu turut menyebut, arahan itu dikeluarkan Zahid dalam pertemuan dengan dengan Ketua Bahagian UMNO di PWC hari ini.
Ia turut menyebut, jika Ismail Sabri ingkar, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan memecatnya.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mendedahkan seramai 158 daripada 191 Ketua Bahagian UMNO yang menghadiri mesyuarat tergempar itu menyatakan kesepakatan mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.
Menurutnya, keperluan untuk membubarkan Parlimen merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan Ketua Bahagian UMNO dengan Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato' Onn.
#Ahmad Maslan #mesyuarat tergempar UMNO #desak PM bubar Parlimen #berita palsu
;