Umno nafi calonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri
Hasimi Muhamad
Februari 27, 2020 12:36 MYT
Februari 27, 2020 12:36 MYT
Umno hari ini menafikan laporan kononnya parti itu dan Pas telah bersetuju menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan hari ini berkata, laporan yang disiarkan sebuah akhbar berhubung perkara itu adalah tidak benar.
"Umno dan Pas tetap dengan pendirian memohon perkenan Sri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan, agar rakyat dapat membuat penyelesaian muktamad kepada masalah yang sedang dihadapi pada masa ini.
"Sebarang kenyataan rasmi hanya dikeluarkan oleh Presiden atau Setiausaha Agung Umno," demikian katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebuah akhbar Bahasa Inggeris memetik yang Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, mendakwa semua Ahli Parlimen Pas dan Umno telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk menyokong Muhyiddin.
#Annuar Musa
#pembubaran Parlimen
#Perdana Menteri
#Perdana Menteri Interim
#Tan Sri Annuar Musa
#Tuan Ibrahim Tuan Man
#UMNO