'UMNO milik semua, bukan MT sahaja' - Khairy

Astro Awani
Januari 26, 2023 20:05 MYT
Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, memiliki sudut pandang yang berbeza dengan pucuk pimpinan tidak semestinya bererti beliau tidak patuh setia kepada parti. - Sumber foto IG Khairy/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menegaskan UMNO adalah milik semua ahlinya dan bukan milik Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sahaja.
“UMNO adalah milik semua ahlinya, bukan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sahaja,” kata Khairy.
Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, memiliki sudut pandang yang berbeza dengan pucuk pimipinan tidak semestinya bererti beliau tidak patuh setia kepada parti.
“Berbeza pandangan dengan pucuk pimpinan dan menuntut proses demokrasi dihormati tidak bermakna tidak setia kepada parti,” kata Khairy dalam satu hantaran di InstaStory pada Khamis.
BACA: Ahli sabotaj UMNO: Langkah 'pembersihan' besar-besaran esok - Ahmad Zahid
Astro AWANI, sebelum ini melaporkan Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO telah bertemu pada Rabu, dipercayai bagi membincangkan status keahlian Khairy.
BACA: UMNO tentukan nasib KJ pada Jumaat
Difahamkan, sebarang keputusan hasil mesyuarat itu bakal dibentangkan ke Mesyuarat MKT UMNO esok malam (Jumaat).
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis turut memberi bayangan bahawa nasib Khairy serta ahli parti yang lain akan turut ditentukan dalam MKT esok.
BACA: Status Khairy Jamaluddin dalam UMNO diketahui petang ini?
Jelasnya, langkah itu sebahagian pembersihan besar-besaran di dalam parti itu seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), pada Disember lalu.
Perkembangan itu didakwa berlaku sehubungan tindakan Khairy menyebarkan dakwaan mengenai wujudnya 'perwakilan import' dalam PAU2022.
Beliau (Khairy) dipercayai antara ahli UMNO yang secara terang-terangan tidak bersetuju dengan keputusan PAU2022 meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti - Presiden dan Timbalan Presiden -- tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.
Terdahulu, Khairy turut menzahirkan kesetiaannya bersama UMNO dan menolak pelawaan Pas untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) meskipun nasibnya dalam UMNO belum diketahui sehingga kini.
Beliau turut berterima kasih atas pelawaan PN itu dan berpendirian mahu kekal dalam UMNO.
#Khairy Jamaluddin #Majlis Kerja Tertinggi UMNO #Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO #Ahmad Zahid Hamidi
;