UMNO mesti menang bukan kerana perpecahan pembangkang - KJ
Bernama
Oktober 16, 2016 08:00 MYT
Oktober 16, 2016 08:00 MYT
UMNO mesti menang dengan kekuatan sendiri pada pilihan raya umum akan datang dan bukannya bergantung kepada perpecahan dalam kalangan pembangkang, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Justeru, beliau menggesa anggota Umno di setiap peringkat supaya bekerja keras dan melakukan persediaan untuk berdepan pembangkang secara satu lawan satu.
"Dalam simulasi yang kita lakukan sekarang ini, kita akan melihat kepada tahap sokongan terhadap UMNO apabila semua undi yang menentang kita itu dicampur. Kalau kita masih dapat kemenangan kita berada bukan dalam keadaan selesa tapi kuat.
"Tapi kalau kita dapati kita masih bergantung kepada perpecahan (pembangkang), kita berada dalam keadaan yang tidak berapa selesa. Hari ini mungkin mereka berpecah tapi esok mereka mungkin bersatu kembali," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup Konvensyen Umno Kelantan yang dihadiri kira-kira 2,500 anggota Umno di sini pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Mengenai peluang golongan muda dan profesional untuk berada dalam Umno, Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata parti itu sentiasa membuka pintu seluas-luasnya kepada golongan tersebut.
Bagaimanapun, katanya golongan itu mesti bekerja keras dan menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk diterima bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan malah akar umbi serta rakyat.
"Saya tak mahu golongan profesional masuk dalam Umno dia ingat oleh kerana dia muda, dia berpendidikan tinggi, dia boleh dapat laluan mudah untuk menjadi calon dan seorang timbalan menteri (misalnya).
"Dalam Umno dia kena ada satu usaha untuk diterima akar umbi, diterima oleh rakyat dan diterima oleh parti," katanya.
Terdahulu, Mustapa, dalam ucapan penggulungannya, mengusulkan tujuh resolusi merangkumi pengukuhan solidariti, akur kepada keputusan pimpinan dan setia kepada perjuangan parti, cakna rakyat serta melaksanakan rejuvenasi atau pengislahan UMNO.
Yang lain ialah memperkukuh jentera parti khususnya di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), mendekati golongan muda dan membawa agenda pembangunan lestari dalam menerokai sumber asli tanpa menggadai nilai-nilai Islam. -- BERNAMA