'UMNO memang sakit, sedang dirawat' - Khaled Nordin
Sinar Harian
Julai 14, 2024 16:55 MYT
Julai 14, 2024 16:55 MYT
PARIT: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta ahli di semua peringkat membantu memulihkan parti itu yang kini berada dalam fasa 'sakit' dan memerlukan rawatan.
Beliau berkata, langkah kebersamaan itu perlu bagi memastikan parti tidak terus mati dan terkubur terutama dalam keadaan UMNO yang bukan lagi sebuah parti dominan.
Menurutnya, saranan itu dibuat kerana ketika ini wujud pelbagai tuntutan dibuat ahli di peringkat akar umbi seolah-olah UMNO ini sebuah parti yang terlalu kuat dan gah.
"Hakikatnya parti sedang 'sakit' sebab kita tidak menang majoriti dan tak dapat bentuk kerajaan pun dalam pilihan raya umum yang lepas.
"Maka sebab itu soal untuk bantu parti yang sakit ini perlu menjadi tanggungjawab kita bersama, bukan hanya kita letak kepada Presiden.
"Saya ajak semua hidupkan parti dengan terus memberi kepercayaan, berikan masa dan keringat kerana UMNO tidak akan berkelangsungan tanpa semua berkorban untuknya," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit 2024 di di Hotel Seri Iskandar di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.
Sementara itu dalam sidang akhbar, Mohamed Khalid yang juga Menteri Pertahanan menafikan berlaku pertindihan kenyataan antara dua pemimpin tertinggi parti berkaitan kerjasama Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, secara dasarnya isu melibatkan kerjasama politik terutama dalam PRU16 akan terus menjadi topik tumpuan yang dibincangkan secara bersama di peringkat kepimpinan parti.
"Jadi hanya mungkin ia menyuarakan pandangan-pandangan secara terbuka, tetapi dalam hal lain, ini juga menunjukkan bahawa dalam UMNO kita tidak mengongkong," katanya.
Sebelum ini, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, BN akan terus bekerjasama dengan gabungan parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Sabtu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dipetik berkata, parti itu tidak terikat dengan sebarang parti untuk bergabung dalam PRU16. - Sinar Harian