UMNO masih relevan? Hanya Ku Li layak tentukan - Penganalisis politik

Wan Syamsul Amly
Jun 16, 2018 17:49 MYT
AHMAD ATORY: peluang juga harus diberi kepada Tengku Razaliegh yang sudah masak dengan sepak terajang UMNO selama ini.
Tengku Razaleigh Hamzah bakal menjadi pemimpin yang menentukan kerelevanan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang seandainya dipilih menjadi presiden pada pemilihan parti tidak lama lagi.
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, jika menang, Ahli Parlimen Gua Musang itu akan menentukan corak baharu UMNO selepas parti itu tumpas dan tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.
Jelasnya, peluang juga harus diberi kepada Tengku Razaleigh yang sudah masak dengan sepak terajang UMNO selama ini.
"Soalannya, apakah arah aliran atau ke arah mana kepemimpinan ini hendak dibawa, kita pun hendak tengok. Kalau ada pendapat dia hendak kuatkan UMNO, dalam keadaan sekarang dia boleh kuatkan UMNO untuk PRU.
"Tetapi, PRU lambat lagi, lima tahun lagi, baru kita tahu atau boleh kita uji sama ada UMNO ini relevan atau tidak, pada PRU akan datang ia sebagai ujian kepada UMNO.
"Apa yang boleh dibuat hari ini, cuma UMNO dengan kepimpinan baharu ini. Kalau Ku Li menang, ke arah mana dia hendak bawa pendekatan baharu yang dia hendak buat.
"Terpulang kepada ahli UMNO untuk fikir, untuk lihat perkara atau prinsip yang akan dia terapkan nanti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
BACA: Tengku Razaleigh tawar diri bertanding Presiden UMNO
BACA: 'Ahmad Zahid calon paling layak Presiden UMNO'
Ahmad Atory berkata demikian ketika mengulas keputusan Tengku Razaleigh yang menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan Presiden UMNO penggal 2018/19.
Kata Tengku Razaleigh, keputusan dibuat itu demi memastikan UMNO terus relevan sebagai pertubuhan politik nasional yang menjunjung perpaduan kaum dan keharmonian ras sebagai gelegar dan teras negara.
Dalam pada itu kata Ahmad Atory, ahli-ahli kini perlu menilai kepemimpinan Ku Li dan impaknya ke arah meremajakan serta memperkukuh jentera UMNO secara keseluruhannya.
"Itulah adalah berdasarkan kepada apa yang saya lihat kepemimpinan yang ada sekarang ini, Ku Li boleh dipertimbangkan, dinilai dan boleh diangkat bergantung kepada persetujuan ahli UMNO sendiri untuk diketengahkan.
"Kalau dilihat 'Petunjuk Prestasi Utama (KPI)', prestasi Ku Li tidak ada masalah dari segi itu, dia seorang ahli politik berpengalaman, kita hendak tanya pengalaman bagaimana ahli UMNO hendak?
"Dia sama zaman dengan Tun Dr Mahathir Mohamad atau Allahyarham Tun Ghafar Baba. Dalam kajian dan bacaan politik, Ku Li tidak asing dalam UMNO," ujarnya.
Jelas Ahmad Atory, Tengku Razaleigh sendiri sudah menjadi ahli parti sebelum ahli yang ada hari ini belum lahir atau masih kecil lagi.
#Ahmad Atory #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #PRU #Tengku Razaleigh Hamzah #UMNO
;