UMNO masih relevan di Negeri Sembilan - Jalaluddin

Sinar Harian
Ogos 13, 2023 22:30 MYT
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, walaupun majoriti undi yang diterima di kebanyakan kerusi dimenangi adalah merosot, namun sokongan rakyat akar umbi masih berpihak kepada parti itu. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Kemenangan UMNO di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu menunjukkan parti itu masih relevan di Negeri Sembilan.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, walaupun majoriti undi yang diterima di kebanyakan kerusi dimenangi adalah merosot, namun sokongan rakyat akar umbi masih berpihak kepada parti itu.
"Maknanya majoriti rakyat masih memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada UMNO.
"Walaupun majoriti kita kecil, tapi kita harus lipat gandakan usaha pembelaan kepada rakyat dan untuk yakinkan kembali kepada rakyat tentang peranan yang boleh dimainkan oleh wakil BN demi kesejahteraan serta pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, kemenangan yang diraih pada PRN ini juga menunjukkan Negeri Sembilan boleh dikatakan sebagai kubu kuat BN dan PH.
Beliau bagaimanapun berkata, BN perlu lebih bekerja keras selepas ini bagi memastikan parti itu terus diterima rakyat.
Pada PRN kali ini, UMNO yang bertanding 17 kerusi menang di 14 kerusi termasuk kerusi milik Amanah sebelum ini iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan calon parti itu yang menang dengan majoriti paling besar iaitu 10,280 undi di DUN Rantau.
- Sinar Harian
#UMNO #relevan #Negeri Sembilan #jalaluddin alias #PRN
;